Terengganu lanjut tempoh remedi FGV berkait notis larangan tanah Felda

kelapa sawit palm oil plantation fmt
Kerajaan Terengganu baru-baru ini mengeluarkan notis amaran pendudukan secara tidak sah ke atas ladang Felda dan FGV di Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman.

PETALING JAYA: Kerajaan Terengganu setuju melanjutkan tempoh remedi kepada FGV Holdings Berhad (FGV) berhubung notis larangan menceroboh tanah hingga 7 Jan ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Zulkifli Ali, berkata semua notis dikeluarkan kepada lembaga pengarah FGV dihentikan malah mereka dibenar meneruskan operasi ladang di Terengganu.

“Dalam tempoh remedi (selama sebulan) ini, perbincangan ke arah memuktamadkan terma dan syarat perjanjian akan diadakan.

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga bersetuju memberi kelonggaran kepada FGV bagi meneruskan operasi semua ladang mereka di Terengganu berkuat kuasa serta merta,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, notis dikeluarkan bagi kesalahan bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Notis 425 KTN) akan ditarik balik sebaik sahaja satu perjanjian muktamad berjaya ditandatangani antara kerajaan negeri dan Felda.

Kelmarin, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil memaklumkan perbincangan akan diteruskan persekutuan bersama wakil kerajaan Terengganu serta Felda untuk mencari penyelesaian dalam isu pertikaian 10 ladang Felda dan FGV di negeri itu.

Katanya, keperluan perbincangan itu dipersetujui semua pihak dalam mesyuarat Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican dan Zulkifli.

Kerajaan Terengganu pada 30 Nov lalu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar, mendakwa selama lebih 40 tahun tanah berkenaan diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan.

Penyerahan notis dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Azman Ibrahim, dilaporkan berkata tindakan itu diambil selepas Felda gagal memberikan maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30% tanah milik kerajaan negeri yang diteroka sejak 40 tahun lalu.

Sebelum itu, Azman berkata proses penguatkuasaan Notis 425 Kanun Tanah Negara terhadap FGV akan diteruskan selagi tiada keputusan muktamad dan tiada persetujuan dicapai dalam tuntutan, lapor Berita Harian.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *