
GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menggesa kerajaan menggantung segera Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) sehingga undang-undang itu dipinda, bagi mengelakkannya disalah guna.
Wakil rakyat DAP itu berkata walaupun pemansuhan Sosma sepatutnya menjadi matlamat akhir, keutamaan sekarang ialah menggantung pelaksanaannya serta-merta.
“Ini reformasi telah kami janjikan tetapi sampai sekarang masih ditangguhkan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Pulau Pinang.
Rayer turut mendesak menteri-menteri daripada DAP, khususnya Pengerusi DAP merangkap Menteri Digital, Gobind Singh Deo, supaya membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
“Saya merayu kepada kerajaan saya sendiri, kepada perdana menteri dan Gobind, yang sebelum ini lantang menentang undang-undang ini: tolong bincangkan penggantungan Sosma sehingga proses pembaharuan dibincang dan dibentangkan di Parlimen untuk perbahasan,” katanya.
Turut hadir dalam sidang media itu sembilan ahli keluarga tahanan Sosma yang ditangkap atas syak terlibat dalam jenayah terancang.
Rayer, yang juga seorang peguam, berkata salah satu kes melibatkan seorang lelaki, R Gobinath, 36 tahun, yang pertama kali ditahan polis pada 27 Nov.
Polis telah memohon perintah reman terhadapnya di Mahkamah Majistret Kulim, Alor Setar dan Sungai Petani, namun ketiga-tiga mahkamah itu menolak permohonan polis kerana tiada alasan kukuh untuk menahannya.
Bagaimanapun, beliau kemudiannya ditangkap semula pada 4 Disember di bawah Sosma atas dakwaan terlibat dalam jenayah terancang.
Seksyen 4(5) Sosma membenarkan polis menahan suspek sehingga 28 hari tanpa perintah reman mahkamah, sekali gus mengelakkan pemantauan biasa oleh mahkamah.
Rayer menyifatkan perkara itu sebagai ‘contoh jelas penyalahgunaan undang-undang’ dan meminta perdana menteri serta Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, memberi perhatian serius terhadap isu tersebut.
Beliau juga berkongsi beberapa kes pernah dikendalikannya, di mana pertuduhan awal di bawah Sosma kemudiannya ditukar kepada kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966 selepas tertuduh diminta mengaku bersalah, yang menurutnya menunjukkan lagi bagaimana undang-undang itu disalahgunakan.
Julai lalu, Saifuddin memaklumkan satu kertas dasar untuk meminda Sosma akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Ogos, termasuk cadangan membenarkan jaminan bagi kesalahan tertentu.
Semakan itu juga sepatutnya meneliti semula tempoh tahanan 28 hari, termasuk kemungkinan membahagikannya kepada beberapa fasa yang lebih pendek, serta Seksyen 30 akta itu yang mewajibkan tahanan yang telah dibebaskan kekal dalam tahanan sementara menunggu rayuan.
Sosma mula dikuatkuasakan pada tahun 2012 semasa pentadbiran Najib Razak, selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan pada tahun yang sama.

https://shorturl.fm/NvtNc