
ABU DHABI: Menteri luar beberapa negara Arab dan Islam bimbang dengan kenyataan Israel mencadangkan Lintasan Rafah dibuka hanya sehala bagi memindahkan penduduk Gaza ke Mesir, lapor Xinhua.
Menteri luar Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Jordan, Indonesia, Pakistan, Turki, Arab Saudi dan Qatar dalam kenyataan bersama menolak sebarang cubaan memindahkan rakyat Palestin secara paksa.
Mereka menggesa rancangan dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dipatuhi dan Lintasan Rafah perlu terus dibuka dua hala bagi memastikan kebebasan pergerakan penduduk Gaza.
Tegasnya, rancangan itu bagi memastikan rakyat Palestin kekal di tanah mereka dan terlibat usaha membina semula tanah air, selain memulihkan kestabilan serta memperbaiki keadaan kemanusiaan.
Mereka turut menekankan kepentingan mengekalkan gencatan senjata, mengurangkan penderitaan orang awam, memastikan akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan serta memulakan usaha pemulihan awal dan pembinaan semula.
Mereka juga menyorot keperluan mewujudkan keadaan yang membolehkan Pihak Berkuasa Palestin menyambung semula tanggungjawab mentadbir Gaza bagi menyediakan asas keselamatan dan kestabilan lebih kukuh.
Rabu lalu, Israel mengumumkan lintasan itu akan dibuka dalam beberapa hari lagi di bawah perjanjian gencatan senjata Oktober lalu dengan Hamas, tetapi operasinya hanya sehala, membenarkan penduduk Palestin keluar dari Gaza, tetapi tidak kembali.
Kerajaan Mesir menafikan sebarang penyelarasan dengan Israel berhubung pembukaan semula Lintasan Rafah.
Lintasan Rafah ditutup hampir sepenuhnya sejak Mei 2024 apabila tentera Israel mengambil alih bahagian Palestin. Sebelum itu, ia merupakan laluan keluar utama bagi penduduk Palestin dan pintu masuk penting bagi bantuan kemanusiaan.
