
PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) menyiapkan beberapa projek pembangunan di Kampung Batu 3 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Rinching Hilir di bawah inisiatif Kampung dan Sekolah Angkat Madni.
Miti telah melaksanakan projek pembaikan jalan dan pengindahan Masjid Kariah Kampung Batu 3 serta naik taraf kemudahan pembelajaran di SK Rinching Hilir menerusi kerjasama pelbagai agensi dan orang ramai.
Ketua Setiausaha Miti Hairil Yahri Yaacob berkata program itu menggambarkan komitmen kerajaan dalam melaksanakan pembangunan seimbang.
“Program ini membuktikan tekad kerajaan Madani untuk memperkasa agenda pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar melalui kerjasama dan sinergi pelbagai kementerian dan agensi.
“Ini selaras aspirasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menekankan nilai ihsan dan kesejahteraan, antara teras Malaysia Madani dalam setiap inisiatif,” katanya dalam kenyataan.
Miti dalam kenyataan berkata kementerian itu telah memperuntukkan RM1 juta untuk pelaksanaan projek di Semenyih menerusi program Kampung Angkat Madani diumumkan dalam Belanjawan 2024.
Menurutnya, RM600,000 digunakan untuk kerja pembaikan jalan kampung yang disiapkan dua bulan lebih awal daripada jadual dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bertindak sebagai rakan strategik.
Ruang solat serta kemudahan Masjid Kariah Kampung Batu 3 turut dinaik taraf selain penanaman 300 pokok buluh dan 2,000 rumput vetiver di sepanjang Sungai Semenyih.
Bagi sekolah, Miti menyediakan RM100,000 untuk menaik taraf kemudahan pembelajaran di SK Rinching Hilir, termasuk RM30,000 bagi meningkatkan capaian internet 5G.
Langkah itu bagi meningkatkan minat murid terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui pendekatan lebih interaktif.
Projek lain melibatkan penggantian kerusi kantin, pembinaan dataran simen mesra OKU, mural, pemasangan smart board serta kamera litar tertutup di semua bilik darjah.
