
PETALING JAYA: Kerajaan Selangor akan meneliti dan membawa cadangan menaikkan bantuan tunai kepada mangsa terjejas teruk akibat banjir di negeri itu ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi, berkata pihaknya juga akan mengambil kira pelbagai aspek berhubung cadangan yang disuarakan oleh seorang wakil rakyat itu untuk mengurangkan beban penduduk.
“Kita juga akan meneliti cadangan supaya kerajaan negeri mewujudkan skim insurans bencana khas untuk kawasan ‘hotspot’ banjir. Kita akan bincang dalam mesyuarat MMKN.
“Setiap keputusan perlu ambil kira pelbagai aspek,” katanya kepada FMT.
Selasa lalu, Adun Kota Kemuning daripada Pakatan Harapan (PH) S Preakas mencadangkan bantuan tunai terbabit dinaikkan kepada RM3,000 bagi membantu mangsa membaiki kerosakan harta-benda mereka.
Katanya, ramai penduduk mengeluh kerana kerugian ditanggung tidak setimpal dengan bantuan diterima.
Beliau juga menggesa kerajaan negeri mewujudkan skim insurans bencana khas untuk kawasan ‘hotspot’ banjir yang amat diperlukan terutama bagi golongan berpendapatan rendah (B40) yang tidak mampu mendapatkan insurans persendirian.
Pada 25 Nov lalu Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, memaklumkan bantuan RM500 akan disalurkan kepada 750 keluarga disahkan berdaftar di PPS di daerah terkesan iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling dan Klang.

https://shorturl.fm/6Z3tt