AGC minta segera siapkan siasatan kematian pemandu lori dalam tahanan

agc
Jabatan Peguam Negara (AGC) telah arah arahkan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman untuk segera melengkapkan laporan kematian M Manisegaran.

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) telah meminta Bukit Aman untuk menyegerakan siasatan kematian seorang pemandu lori yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis, Mac lalu.

Menjawab gesaan Menteri Digital Gobind Singh Deo yang meminta penjelasan daripada AGC, jabatan itu berkata ia telah mengarahkan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman untuk segera melengkapkan laporan kematian M Manisegaran.

“Ia bagi membolehkan kes itu dirujuk ke Mahkamah Koroner untuk menentukan punca dan sebab kematian.

“Laporan penuh siasatan dijangka dirujuk kepada jabatan ini dalam masa terdekat.

“Jabatan ini kekal komited memastikan setiap kes kematian dalam tahanan ditangani secara telus, menyeluruh dan selaras undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Gobind yang juga pengerusi DAP dilaporkan Malaysiakini menggesa AGC menjelaskan dakwaan kematian Manisegaran dalam tahanan polis tidak disiasat walaupun telah lebih sembilan bulan berlalu.

Manisegaran dikatakan meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan selepas ditahan di Balai Polis Sunway, Petaling Jaya.

Isterinya, Rajeswari Subramaniam mendakwa ada kesan kecederaan pada dada, selain gigi patah dan pendarahan pada mata Manisegaran.

Dakwanya, laporan bedah siasat pula memberikan penjelasan bercanggah, termasuk dakwaan berkaitan serangan jantung, panau, penggunaan dadah dan cecair di paru-paru.

Author: admin

1 thought on “AGC minta segera siapkan siasatan kematian pemandu lori dalam tahanan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *