
PETALING JAYA: Mesyuarat pertama bagi membincangkan kaedah dan ‘parameter’ penyerahan tuntutan 40% hasil bersih diperoleh dari Sabah dijangka diadakan pertengahan bulan depan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata perkara dituntut kerajaan Sabah sudah dimuktamadkan dan akan dilaksanakan selepas proses berkaitan selesai.
Katanya, Putrajaya tetap komited menyerahkan 40% hasil bersih dari Sabah seperti dijelaskan dalam Jemaah Menterinya sebelum ini.
Menurutnya, mesyuarat awal di peringkat jawatankuasa teknikal antara ketua setiausaha Perbendaharaan dan setiausaha kerajaan Sabah diadakan bulan lalu.
“Jadi, mungkin mesyuarat pertama itu kita buat sebelum pertengahan Januari tahun depan mengenai kaedah, parameter supaya betul-betul memberi keyakinan kepada rakyat Sabah,” katanya menurut Berita Harian ketika berucap pada Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Sabah di Kota Kinabalu.
“Ini bukan soal cari dalil, tentunya dalam musim pilihan raya sebelum ini dan juga kadang-kadang sesetengah pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang sinis, kita buat apapun mereka terus sinis.
“Tapi, saya nak beritahu, rakan-rakan saya dari Jemaah Menteri pun ada, bahawa kita harus lihat secara tertentu, saya tak boleh kata kita serah pada Januari, kita ‘clear parameternya’ dulu, jumlahnya dan berapa peringkat pembayaran dalam setahun.”
Anwar berkata, perkara itu akan diteliti jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa persekutuan-negeri, sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri negeri serta persekutuan.
Katanya, perbincangan berhubung tuntutan 40% itu tidak sempat diadakan bulan ini disebabkan kesuntukan masa dan empat jawatan menteri persekutuan yang masih kosong perlu diisi terlebih dahulu.
“Jadi, beri ruang kepada saya satu ke dua minggu ini memikir dan berbincang dengan ketua parti, termasuk dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji untuk mendengar pandangan mereka sebelum saya muktamadkan.”
Beliau berkata, isu lain berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus dibincang dan dilaksanakan bawah majlis sedia ada yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.
“Belum ada dalam sejarah penubuhan Malaysia, kita ada komitmen dan pelaksanaan jauh lebih cepat, iaitu sebanyak sembilan perkara telah kita putuskan.
“Ada beberapa lagi kita akan rujuk dan bawa kemudian kepada premier Sarawak dan ketua menteri Sabah dan luluskan untuk pertimbangan Jemaah Menteri dan Parlimen, sekiranya perlu pindaan undang-undang.”
Beliau memberi contoh penyerahan kuasa elektrik kepada Sabah dan wakil dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membabitkan pindaan undang-undang.
