
KUALA BERANG: Sepasang bakal pengantin maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka terbabas dalam gaung di KM52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah), petang tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Sharudin Abdul Wahab, berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa, Hassan Shazali, 52, dari Melor, Kota Bharu dan Suzaimah Che Azis, 34, dari Gua Musang disahkan meninggal dunia di lokasi.
Beliau berkata, lelaki itu bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir, Gua Musang, manakala pasangannya bekerja di kantin sekolah yang sama dan mereka dijadual melangsungkan perkahwinan pada 25 Dis.
“Polis menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat SUV jenis Toyota Fortuner terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 60m.
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang dari arah Hulu Terengganu menghala ke Gua Musang telah melalui jalan berkenaan yang ditutup akibat tanah runtuh. Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi.
Sharudin berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
