
Dalam dunia moden, propaganda bukan sekadar alat menyebar maklumat, ia adalah seni mengurus persepsi manusia terhadap realiti. Inilah intipati pemikiran Walter Lippmann dalam karya klasiknya Public Opinion (1922), buku yang dianggap asas kepada teori propaganda moden.
Lippmann berpendapat bahawa manusia tidak bertindak terhadap dunia sebenar, tetapi terhadap ‘gambar dunia yang ada dalam kepala mereka’. Dunia yang kita fahami ialah dunia yang telah disaring oleh media, simbol, agama, pendidikan dan pengalaman peribadi. Maka, apa yang dipercayai sering kali lebih kuat daripada apa yang benar.
Beliau juga memberi pencerahan bagaimana seseorang individu boleh dipengaruhi. Ia bergantung kepada ‘apa’ yang dibaca, termasuk maklumat ‘apa’ yang dipaparkan di media. Ini termasuk juga pengalaman peribadi individu tersebut dan nilai diri seperti agama dan budaya.
Faktor di atas seperti media, pengalaman dan nilai diri boleh dibingkaikan oleh persepsi. Dalam membangunkan propanda mengurus persepsi adalah kefahaman utama.
1. Realiti Boleh Dicipta
Menurut Lippmann, manusia hidup dalam ‘pseudorealiti’ iaitu realiti palsu yang terbentuk daripada maklumat terpilih dan diulang-ulang hingga kelihatan benar. Ia bukan hasil penipuan semata-mata, tetapi hasil penyusunan makna oleh pihak yang mengawal maklumat.
Sebab itu media berperanan membentuk realiti rakyat secara halus yang terkait dengan emosi, pengalaman sosial dan nilai diri.
Ketika beliau menulis Public Opinion, dunia baru sahaja keluar dari Perang Dunia Pertama. Lippmann melihat bagaimana kerajaan dan media menggunakan propaganda untuk menanam imej bahawa peperangan itu suci, wira mereka mulia, dan musuh adalah jahat. Fakta kecil dibesarkan, emosi dimobilisasi, dan akhirnya rakyat bertindak bukan kerana faham, tetapi apa yang mereka percaya.
2. Persepsi Lebih Penting Daripada Fakta
Lippmann menegaskan, “The pictures in our heads matter more than the facts outside.”
Ungkapan ini menjelaskan bahawa persepsi ialah asas tindakan sosial. Dalam politik, ekonomi mahupun hubungan awam, manusia jarang bertindak berdasarkan kebenaran mentah, mereka bertindak berdasarkan tafsiran terhadap kebenaran. Tentulah dalam membentuk persepsi pra syarat utama adalah kawalan maklumat.
Seorang pemimpin yang bijak mengurus persepsi tidak semestinya mengubah dasar; cukup dia mengubah cara dasar itu difahami. Inilah sebab mengapa dalam dunia propaganda, pengurusan imej dan bahasa lebih kuat daripada angka dan data.
Dalam isu mengurus kemiskinan memberi label kepada ‘keluarga miskin’ akan merendahkan titik moral keluarga tersebut. Ia boleh diubah kepada ‘keluarga berpendapatan rendah’.
3. Pseudorealiti
Pseudorealiti merupakan realiti palsu yang dicipta melalui bahasa, imej dan simbol. Sebenarnya ini merupakan puncak tertinggi propaganda iaitu khalayak percaya, walaupun ia direka. Ada pra syaratnya iaitu ia mesti disampaikan secara berulang-ulang, diinstitusikan oleh elit pemerintah dan pemilik media dan dikongsikan oleh ramai orang.
Kita mengetahui lagi Setia ketika zaman Tok Mat Bulat menjadi menteri penerangan. Lagu itu menjadi siulan. Realitinya semua orang tahu ketika itu berlaku krisis kepercayaan dalam pemerintahan, perpecahan dalam Umno dan krisis kehakiman dengan pemecatan Salleh Abas. Seluruh alat media pemerintah dan insitusi kerajaan digunakan untuk menyampaikan mesej tersebut.
Lippmann memperkenalkan konsep ‘stereotype’ iaitu cara otak manusia menyederhanakan dunia yang kompleks melalui label dan imej. Media memanfaatkan kecenderungan ini untuk membentuk persepsi awam: mencipta musuh, menonjolkan wira, atau menyusun konflik supaya mudah difahami.
Beliau turut memperkenalkan istilah ‘manufacture of consent’ iaitu seni mengolah persetujuan rakyat melalui kawalan maklumat. Dengan mengawal isu apa yang penting (agenda setting) dan bagaimana ia diceritakan (framing) dan apa subjek yang ditonjolkan (priming), media boleh menstrukturkan kesedaran awam tanpa perlu berbohong secara terang-terangan.
4. Kawalan maklumat adalah kawalan kuasa
Lippmann berpendapat bahawa masyarakat moden terlalu kompleks untuk difahami sepenuhnya oleh rakyat biasa. Oleh itu, mereka bergantung kepada media dan pemimpin untuk mentafsirkan realiti. Inilah yang menjadikan propaganda berkesan: kuasa menentukan apa yang dilihat dan bagaimana ia dilihat.
Kini dengan teknik propaganda digital algoritma dimanipulasi dan micro targetting adalah asas kepada kawalan maklumat bersasar.
Kerajaan, institusi dan korporat menggunakan mekanisme kawalan maklumat bagi membentuk kesedaran yang terkawal dan bukan melalui paksaan, tetapi melalui struktur makna yang halus.
5. Dunia kini dalam bentuk yang Lippmann ramal
Seratus tahun kemudian, ramalan Lippmann menjadi nyata. Kini propaganda tidak lagi datang dari satu arah. Setiap individu yang memiliki telefon pintar ialah pengurus persepsi dirinya sendiri.
Setiap kapsyen, gambar dan perkongsian di media sosial membentuk pseudorealiti peribadi membentuk dunia kecil yang ditapis dan disusun agar orang lain percaya versi terbaik diri kita.
Mahu kelihatan cantik, kaya dan bergaya, pandai merupakan pseudorealiti peribadi yang kerap ditonjolkan. Dunia digital menjadikan setiap orang propagandis kecil yang mengawal naratif masing-masing.
Namun Lippmann juga memberi amaran: apabila pseudorealiti dibiarkan tanpa kawalan moral, ia boleh membawa masyarakat kepada kekeliruan makna dan perpecahan sosial. Lebih parah lagi, jika pseudorealiti tanpa asas yang kukuh, biasanya tidak bertahan lama.
Ramai pempengaruh ‘kantoi’ dengan kehidupan yang pura-pura.
6. Kepimpinan persepsi
Dalam kerangka Lippmann, kepimpinan moden bukan lagi soal siapa paling benar, tetapi siapa paling cekap mengurus gambaran mental khalayak. Seorang pemimpin mesti menguasai seni membina imej, naratif dan simbol yang selaras dengan perasaan rakyat.
Pemimpin perlu mempunyai pasukan media yang cekap mengurus naratif dan persembahan jenama. Ia boleh menjadi alat yang positif untuk menstrukturkan cara masyarakat memahami dunia. Ia boleh digunakan untuk kebaikan (mendidik, menyatukan, memberi harapan) atau kejahatan (memecah, menakut, memperalatkan).
Kesimpulan
Lippmann menulis Public Opinion hampir seabad lalu, tetapi pemikirannya masih hidup dalam dunia algoritma dan media sosial hari ini. Dalam dunia pasca-kebenaran, propaganda bukan sekadar alat kuasa, tetapi keperluan survival makna.
Mengurus persepsi adalah cara manusia menavigasi dunia yang terlalu bising dengan maklumat. Dan seperti yang diingatkan Lippmann, sesiapa yang mampu mengawal gambar dalam kepala manusia, dialah yang akan mengawal masa depan dunia.
Gambar itu sekarang ada mesin yang menyaringnya menerusi telefon tangan masing-masing.
Sang Propagandis Budiman Mohd Zohdi, penganalisis propaganda dan bekas Ahli Parlimen Sungai Besar.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
