
PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) merekodkan jumlah tertinggi penuntut antarabangsa tahun lalu, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mustapha Sakmud.
Beliau berkata, tiga universiti itu merekodkan seramai 27,669 penuntut antarabangsa dengan penyertaan paling tinggi antaranya dari China, Indonesia dan Bangladesh.
“Sebanyak 20 universiti awam (UA) di negara ini menerima seramai 53,322 pelajar antarabangsa. Tiga UA menerima kemasukan pelajar antarabangsa tertinggi, prasiswazah adalah seramai 6,988 antaranya 5,812 dari China, Indonesia (528) dan Bangladesh (144).
“Bagi pascasiswazah pula, ia membabitkan seramai 20,681 pelajar termasuk China 14,711, Iraq (912) dan Indonesia (684),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai jumlah penuntut antarabangsa di UA dalam negara.
Sementara itu, Mustapha berkata selaras hasrat menjadikan negara hub pendidikan tinggi serantau, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkenalkan sistem kemasukan penuntut antarabangsa secara berpusat ke universiti di negara ini.
Katanya, langkah itu bagi memastikan jaminan kualiti akademik dan kapasiti universiti.
“Ini akan dibangunkan supaya kita dapat meningkatkan kecekapan, kebolehcapaian, ketelusan dan daya saing dalam menarik pelajar global.
“Kita juga akan mengemaskan sistem pemprosesan permohonan pelajar antarabangsa melalui Education Malaysia Global Services (EMGS) khusus untuk mengendalikan pelajar antarabangsa,” katanya.
Pada masa sama, Mustapha berkata, KPT menumpukan pengambilan pelajar antarabangsa di peringkat pascasiswazah kerana mahu bidang penyelidikan ditingkatkan dengan kepakaran mereka.
Katanya, bagi peringkat prasiswazah atau aliran perdana tumpuan diberikan kepada pelajar tempatan.
“Bagi pengambilan pelajar antarabangsa di semua universiti, peringkat prasiswazah adalah seramai 13,986 atau 2.3% daripada keseluruhan pelajar, manakala bagi pascasiswazah membabitkan seramai 39,336 pelajar atau 6.4%,” katanya.
