
PETALING JAYA: Kertas siasatan berkait hantaran media sosial Adun Manjoi Hafez Sabri mengenai pencerobohan keselamatan melibatkan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 10 Sept lalu, untuk arahan lanjut, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Dalam jawapan bertulis Parlimen, Saifuddin berkata Adun PAS itu disiasat atas kenyataan dikhuatiri mendatangkan khianat awam mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, dan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membawa denda maksimum RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hantaran tersebut mendakwa bahawa wanita yang bergegas mendekati Sultan Nazrin pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat Perak pada 31 Ogos adalah berbangsa Cina.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyiasat Hafez, sebelum ini berkata hantaran itu palsu dan berbaur perkauman kerana polis sudah menyatakan wanita terlibat adalah seorang wanita Melayu berusia 41 tahun, dengan sejarah menerima rawatan psikiatri.
“Seperti yang telah disahkan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ini adalah tidak benar dan berpotensi menimbulkan ketegangan kaum serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada 3 Sept lalu.
SKMM menegaskan penyebaran kandungan palsu dan berbaur perkauman merupakan kesalahan serius yang mengancam keharmonian dan ketenteraman awam.
Hafez telah memadam dan memohon maaf atas hantarannya. Beliau mendakwa ia telah dimanipulasi oleh ‘pihak tidak bertanggungjawab’ yang menyebarkan tangkap layar sebelum bertindak membetulkannya dalam masa beberapa minit.
Pemuda DAP di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kemudiannya membuat laporan polis terhadap Hafez berhubung hantaran itu.
