
KOTA KINABALU: Seorang guru disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha memberitahu Mahkamah Koroner di sini, hari ini, beliau tiada niat jahat atau cuba “melindungi” mana-mana pihak dalam kes Zara Qairina Mahathir.
Nur Shukriah Mohd Fauzi, 37, berkata demikian ketika disoal Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues kematian pelajar 13 tahun itu.
Koroner: Cikgu ada apa-apa kepentingan dalam kes ini seperti “melindungi” pihak tertentu?
Nur Shukriah: Tiada.
Koroner: Ada apa-apa niat tidak baik?
Nur Shukriah: Tidak.
Koroner: Cikgu memberi keterangan dengan suci hati?
Nur Shukriah: Ya.
Ditanya pandangannya berhubung hukuman rotan secara terbuka pada zaman dahulu yang dikatakan berkesan untuk mengubah pelajar bermasalah disiplin, saksi ke-53 itu berkata, ketika ini, ia hanya boleh dilaksanakan penolong kanan hal ehwal murid dalam bilik dengan disaksikan guru disiplin.
Menyentuh keterangan majoriti pelajar bahawa budaya maki hamun perkara biasa di sekolah itu dan persekitarannya juga sangat “toksik”, Nur Shukriah berkata, pelbagai program dilakukan untuk membentuk sahsiah pelajar.
“Banyak program sudah kami laksanakan, tuan…setiap hari, kami menasihati mereka supaya bercakap secara sopan dan menghormati orang lain…cuma saya terkilan, pembentukan sahsiah anak-anak bukan 100% terletak di bahu pihak sekolah…ibu bapa juga memainkan peranan.
“Contohnya, apabila saya tanya pelajar sama ada mereka dikejutkan untuk solat subuh ketika pulang ke rumah, mereka jawab emak ayah tidak pernah kejutkan…di asrama, warden kejutkan mereka, tetapi amalan itu tidak diteruskan bila berada di rumah…kami mengajar perkara yang elok, tuan.”
Koroner: Tetapi cikgu, sejak masuk sekolah, pelajar meluangkan lebih banyak masa di asrama berbanding di rumah. Mengapa amalan baik itu tidak dibawa?
Nur Shukriah: Tidak tahu, tuan.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.
