
PETALING JAYA: Beberapa kawasan di Kuala Lumpur dilanda banjir kilat petang ini susulan hujan lebat sejak lewat petang, dengan pengguna media sosial berkongsi video dan gambar yang menunjukkan beberapa lokasi dinaiki air.
Antara kawasan yang dikenal pasti termasuk sekitar Bulatan Pahang, Jalan Tun Razak dan berhampiran Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, manakala beberapa jalan utama di pusat bandar mengalami kesesakan teruk, lapor Bernama.
Pengguna media sosial melaporkan paras air setinggi pinggang, menjejaskan kelancaran trafik dan menyebabkan ramai pemandu terkandas di jalan raya.
Beberapa video dan gambar turut menunjukkan arus deras dengan air melimpah dari sistem saliran berhampiran.
Kawasan lain di pusat bandar turut terjejas selepas Sungai Klang dilaporkan melimpah, menyebabkan laluan berhampiran tebing sungai serta kawasan rendah dinaiki air.
Banjir kilat turut dilaporkan berlaku di Petaling Jaya, Bangsar, Gombak, Batu Caves dan Kajang.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini memaklumkan bahawa 370 anggotanya sedang memantau 15 lokasi hotspot banjir di seluruh bandar susulan amaran cuaca yang dikeluarkan pihak berkuasa.
