
PETALING JAYA: Tiga stesen aras air di Selangor melepasi paras bahaya setakat 9.30 pagi ini susulan hujan lebat sejak awal pagi tadi.
Laman web Info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor menunjukkan stesen air melepasi paras bahaya adalah Jenderam Hilir di Sepang, Batu 12 dan Siren Batu 12 Kampung Sungai Serai di Hulu Langat.
Paras air di Batu 12 setinggi 43.48m melepasi tahap bahaya 42.4m, manakala Jenderam Hilir setinggi 12.04m (tahap bahaya 11m).
Lima stesen melepasi paras amaran iaitu Rimba KDR di Sabak Bernam, Pekan Bangi Lama dan Batu 15 di Hulu Langat, Bukit Changgang di Kuala Langat serta Tanjung Malim di Hulu Selangor.
Empat stesen aras air melepasi paras berjaga-jaga, iaitu Pintu Air Ijok di Kuala Selangor, Dengkil di Sepang, Jambatan SKC dan Kampung Sungai Selisik di Hulu Selangor.
