
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim umum pelantikan Tengku Zafrul Aziz sebagai pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa hari ini.
Menurut Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan, selain menerajui agensi pelaburan utama negara itu, Tengku Zafrul turut akan diberikan beberapa tanggungjawab tambahan yang kini sedang diperincikan dan akan diumumkan kemudian.
Tengku Zafrul sebelum ini menyandang jawatan senator selama dua penggal, bermula Disember 2020 dan dibaharui tahun lepas.
Penggalnya sebagai senator berakhir semalam, bermakna beliau tidak boleh lagi kekal dalam Jemaah Menteri melainkan dipilih sebagai Ahli Parlimen pada pilihan raya akan datang.
Minggu lepas, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, Tengku Zafrul akan terus memainkan peranan dalam kerajaan selepas tamat penggal kedua jawatan senatornya.
Pada 13 Nov, Tengku Zafrul yang juga bekas menteri pelaburan, perdagangan dan industri menawarkan diri untuk membantu penggantinya dan telah memaklumkan hasrat tersebut kepada Anwar.
