Naratif undi popular Warisan tak berasas, ‘gagal matematik’, kata pemimpin GRS

bendera warisan
Masiung Banah berkata Warisan sepatutnya menjadi pembangkang dihormati selepas rakyat memberi mandat kepada GRS.

PETALING JAYA: Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membidas dakwaan yang Warisan meraih undi paling popular pada PRN Sabah Sabtu lalu, dengan menyifatkannya sebagai kegagalan memahami matematik.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Masiung Banah, berkata naratif itu menunjukkan Warisan masih sukar menerima kekalahan manakala Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Arthur Sen, menyifatkan perbandingan dibuat tidak adil.

Arthur menjelaskan, Warisan bertanding di semua 73 kerusi DUN, berbanding GRS meletakkan calon di 55 kerusi, menjadikan jumlah undi diperoleh secara keseluruhan tidak sepatutnya dibandingkan terus.

“Mereka bertanding di kerusi bandar seperti Elopura, Api-Api, Tanjung Papat, Likas dan Tanjung Aru yang mempunyai jumlah pengundi tinggi. GRS pula tidak meletakkan calon di kawasan itu.

“Saya rasa ini kegagalan memahami matematik dan membuat perbandingan betul,” katanya merujuk dakwaan Warisan memperoleh undi popular tertinggi dengan 288,703 berbanding 286,389 diperoleh GRS.

Arthur turut menegaskan, naratif undi popular itu tidak mengambil kira hakikat Warisan kalah di 48 kerusi, termasuk 23 calon hilang deposit kerana gagal meraih sekurang-kurangnya satu perlapan undi.

“Apakah bila ramai calon hilang deposit, parti itu boleh dikatakan popular?” soalnya.

Masiung Banah n Arthur Sen
Masiung Banah meminta Warisan ‘move on’ manakala Arthur Sen bidas perbandingan tidak adil berkait undi popular.

PRN Sabah ke-17 menyaksikan Pengerusi GRS Hajiji Noor kembali mengangkat sumpah sebagai ketua menteri selepas gabungan itu memenangi 29 kerusi dan memperoleh sokongan BN (6), Upko (3) dan lima Adun bebas, cukup untuk melepasi majoriti mudah 37 kerusi.

Pentadbiran Hajiji turut disokong seorang Adun Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) manakala Adun Bingkor Ishak Ayub daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dilantik pembantu menteri.

Sementara itu, Masiung mengecam pihak yang terus mempromosikan naratif undi popular Warisan, mendakwa ia bertujuan mengelirukan rakyat.

Katanya, PRN sudah berakhir dan semua pihak harus menghormati mandat rakyat yang memberi kepercayaan kepada GRS untuk membentuk kerajaan.

“Perbandingan dibuat pun tidak adil. Mereka cuma mahu mengelirukan rakyat yang sebenarnya mahu kerajaan baharu bekerja.

“Sepatutnya mereka ‘move on’ dan jadi pembangkang yang dihormati,” katanya.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *