
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi mempersoalkan apa sudah berlaku kepada siasatan polis melibatkan kehilangan aktivis Amri Che Mat dalam tempoh enam tahun lalu.
Dalam penghakiman penuh berhubung saman difailkan isteri Amri, Hakim Su Tiang Joo berkata, tiada jawapan pernah diberikan pihak polis dan kerajaan sepanjang perbicaraan.
Mahkamah turut mengambil maklum kerajaan diterajui Dr Mahathir Mohamad pada 2019 telah meluluskan pasukan petugas untuk meneliti penemuan Suhakam mengenai Amri dan seorang lagi individu yang hilang, Pastor Raymond Koh.
Satu laporan disediakan pasukan petugas berkenaan, namun tidak pernah didedahkan kepada umum kerana diklasifikasikan rahsia kerajaan.
“Sejak pasukan petugas itu ditubuhkan sehingga laporan diserahkan pada 13 Mac 2020, serta penutupan perbicaraan ini (9 Julai), tiada siasatan lanjut telah dilakukan.
“Adalah wajar diperhatikan pegawai penyiasat, Khor Yi Shuen – yang mana pasukan petugas mengesyorkan tindakan tatatertib atas ketidakcekapan – telah dinaikkan ke pangkat kanan (asisten superintenden) pada 2021,” katanya dalam penghakiman bertulis dikeluarkan minggu lalu.
Kandungan laporan pasukan petugas itu didedahkan selepas isteri Amri, Norhayati Ariffin, berjaya mendapatkan pelepasan laporan tersebut pada prosiding berasingan.
Pasukan petugas itu membuat kesimpulan polis bertindak secara tidak cekap mengendalikan kes Amri dan pegawai polis yang dianggap ‘rogue’ terlibat dalam kehilangan Koh dan Amri. Ia juga menamakan 10 pihak yang berkepentingan.
Khor, yang memberi keterangan dalam saman itu, mendakwa beliau tidak lagi menguruskan kes Amri selepas dipindahkan dari Perlis pada 2019.
Namun, Khor juga berkata beliau tidak pernah secara rasmi menyerahkan kertas siasatan kepada pegawai lain.
Bulan lalu, penghakiman RM5 juta telah diputuskan terhadap kerajaan dan polis dalam saman Norhayati.
Amri dinamakan individu sebar ajaran Syiah di Perlis
Sepanjang perbicaraan, mahkamah mendengar satu kenyataan saksi yang direkodkan daripada bekas pegawai kanan Cawangan Khas, Awaludin Jadid, bagi siasatan terhadap laporan polis difailkan Norhayati, pada 2018.
Dalam kenyataan dikemukakan sebagai sebahagian pembuktian, Awaludin memberitahu polis bahawa penyebaran ajaran Syiah menjadi ancaman keselamatan negara.
Katanya, beliau bertemu Mufti Perlis Asri Zainul Abidin pada Oktober 2016 untuk membincangkan penyebaran ajaran Syiah dan penglibatan Amri menyebarkan ajaran itu.
Berkait perkara itu, Su berkata: “Walaupun Syiah dikatakan menimbulkan ancaman keselamatan negara, pastinya pengikutnya berhak mendapat proses undang-undang sewajarnya dan diberitahu peruntukan undang-undang mana menjadikannya satu kesalahan menjadi pengikut Syiah, dan untuk mempertahankan diri mereka di mahkamah.”
Hakim itu berkata, polis sepatutnya meneruskan siasatan terhadap kaitan Syiah dalam siasatan mereka.
“Pihak defendan tidak meneruskan siasatan mereka dari sudut Islam Syiah dengan keseriusan yang sepatutnya.
“Plaintif (Norhayati) menegaskan bahawa dia bimbang perkara paling buruk berlaku ke atas suaminya, bermaksud dia percaya Amri telah diculik dan dibunuh,” tambah Su.
