
PETALING JAYA: Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman mengambil alih siasatan berhubung klip video yang mengandungi tohmahan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana salah guna kemudahan rangkaian.
“Kami akan membantu bagi memastikan siasatan dijalankan secara komprehensif,” katanya yang dipetik Bernama sebagai berkata di Sentul hari ini.
Khamis lalu, SPRM membuat laporan polis berhubung satu video yang dikongsi di Facebook yang mengandungi perbualan antara ahli perniagaan kontroversi Albert Tei dan seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong.
Menurut laporan itu, perbualan berkenaan didakwa mengandungi tuduhan berunsur fitnah terhadap Azam.
Sementara itu, Fadil berkata kertas siasatan melibatkan seorang timbalan pendakwa raya SPRM yang ditahan kerana penyalahgunaan dadah pada September, telah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara.
Katanya, siasatan telah lengkap selepas menerima laporan patologi daripada Jabatan Kimia dan kertas siasatan kini berada pada peringkat AGC untuk arahan lanjut.
Pegawai berusia lingkungan 30-an itu ditahan polis pada 23 Sept dan disiasat mengikut Seksyen 12(1) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas ujian air kencing mendapat dia positif dadah.
