
PETALING JAYA: Bagi kebanyakan keluarga terutama mereka yang masih bertungkus-lumus mencari rezeki setiap hari, RM100 adalah nilai yang besar.
Awal tahun ini, kerajaan mengumumkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bantuan RM100 yang dikreditkan secara automatik ke dalam MyKad setiap rakyat Malaysia.
Bulan lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata lebih 80% rakyat sudah membelanjakan wang itu tetapi masih ramai terutama golongan berpendapatan tinggi belum berbuat demikian, menyebabkan ratusan juta ringgit bantuan berkenaan tidak digunakan.
Dengan tarikh akhir 31 Dis untuk menebus SARA semakin hampir, FMT membuat keputusan menyumbang kembali dengan mendermakan barangan runcit dan keperluan asas kepada mereka yang memerlukan.
Baru-baru ini, sekumpulan kakitangan FMT berkumpul di pasar raya besar Mydin Subang Jaya untuk membeli-belah bagi pihak tiga pertubuhan kebajikan.

Penulis Kanan FMT, Yeoh Guan Jin, yang mencadangkan idea itu berkata sesiapa sahaja boleh mengambil bahagian dalam inisiatif serupa, tidak kira besar atau kecil sumbangan mereka.
“Anda tidak semestinya menyumbang kepada pertubuhan kebajikan seperti rumah anak yatim atau orang tua. Anda mungkin boleh bantu jiran yang mungkin tiada makanan untuk dihidangkan hari itu.
“Jika orang nampak kita lakukan perkara ini, mungkin ada ramai yang akan ikut serta dan melakukan perkara sama,” katanya.
Daripada beras dan minyak masak sehinggalah biskut dan susu tepung, kami memilih barangan keperluan untuk dibeli. Setelah memuatkan semua barangan ke dalam van, kami kembali ke pejabat FMT di Petaling Jaya, di mana lebih ramai kakitangan menghulurkan sumbangan.
Bersama-sama, kami membungkus semua barang itu ke dalam kotak, bersedia untuk dihantar.

Hentian pertama kami ialah Rumah Penjagaan Warga Emas Pearl Care, tempat kami mengagihkan barang makanan dan keperluan seperti lampin dewasa.
Dari situ, kami menuju ke Pusat Penjagaan Kanak-kanak Cacat Taman Megah, yang beroperasi lebih 30 tahun dan menjaga lebih 100 kanak-kanak.
Presiden pusat penjagaan itu, Umahdevi Rajamanickam mengucapkan terima kasih atas sumbangan FMT.
“Ramai kanak-kanak ini ditinggalkan keluarga, tetapi kami melayan mereka seperti anak sendiri. Saya berharap orang ramai akan terus menyokong kami.”
Hentian ketiga dan terakhir kami ialah Pusat Jagaan Rumah Juara, sebuah rumah untuk kanak-kanak kurang bernasib baik yang ditubuhkan pada 1998.
Pembantu penyelia Michael M Ignacy sangat menghargai sumbangan FMT dan berkata bantuan diterima pusat itu menurun sejak pandemik tetapi kini ia semakin meningkat perlahan-lahan.

Sementara itu, Pengarah Urusan FMT, Azeem Abu Bakar, berkata bantuan SARA diberi kerajaan adalah unik kerana ia membolehkan rakyat Malaysia memilih bagaimana untuk menggunakan wang tersebut.
Memandangkan jumlah pembaca FMT yang besar, Azeem berkata: “Kami jalankan tanggungjawab kami dengan gunakan pengaruh yang ada untuk ingatkan orang ramai tentang SARA.
“Dengan berkongsi kisah seperti ini, kami berharap ia dapat beri inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang kembali kepada masyarakat pada bila-bila masa.”
Ketua Unit Bahasa Malaysia dan Video FMT, Zahrul Alam Yahya Shahir, berkata bagi golongan berkemampuan, RM100 mungkin jumlah yang kecil tetapi bagi mereka yang kurang bernasib baik bantuan itu sangat besar nilainya.
Ditanya mengenai pengajaran diperoleh daripada pengalaman itu, beliau menjawab: “Kita perlu sentiasa melihat ke bawah, bukan hanya ke atas.
“Jika kita hanya melihat ke atas, kita tidak akan pernah rasa cukup. Tetapi dengan melihat kepada mereka di bawah, kita dapat lihat masih ramai lagi yang memerlukan.”
Tiada yang lebih membahagiakan selain membuat seseorang tersenyum. Kami di FMT berharap sumbangan kecil ini mampu memberi inspirasi kepada anda untuk bawa kegembiraan kepada orang lain dengan cara tersendiri.
Pearl Care Elderly Home
11, Jalan 12/16, Seksyen 12,
46200 Petaling Jaya, Selangor
Nombor telefon: 012-525 5594
Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah
13488, Jalan Jenjarum,
Jalan SS23/1,
47400 Petaling Jaya, Selangor
Nombor telefon: 03-7806 1143
Pusat Jagaan Rumah Juara
1 & 1A, Jalan 1/4, Seksyen 1,
46000 Petaling Jaya, Selangor
Nombor telefon: 03-7783 1568
