
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar mengangkat sumpah untuk penggal kedua sebagai senator.
Mereka melafazkan sumpah di hadapan Speaker Dewan Negara, Awang Bemee Awang Ali Basah pada permulaan sidang Dewan Negara. Ketiga-tiganya pertama kali mengangkat sumpah senator pada Disember 2022.
Majlis angkat sumpah mereka berlaku di tengah-tengah jangkaan rombakan Kabinet dengan empat jawatan kini kosong.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan pada Mei, manakala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick meletak jawatan bulan lalu.
Portfolio pelaburan, perdagangan dan industri juga kosong memandangkan tempoh kedua dan terakhir Tengku Zafrul Aziz sebagai senator – iaitu tempoh maksimum dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan – tamat pada 2 Dis.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan mengambil alih portfolio ekonomi secara sementara, manakala Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Ghani menguruskan hal ehwal sumber asli dan kelestarian alam.
Bekas portfolio Ewon kini dipegang Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.
