Sabah tidak patah

Arial view of city - Kota Kinabalu, Sabah

Denai demokrasi dari laut ke pedalaman

PRN Sabah 2025 baru sahaja melabuhkan tirainya, meninggalkan jejak emosi, denyut harapan dan tanda tanya yang masih bersisa di hati rakyat. Dari Semporna hingga ke Sipitang, dari Kota Kinabalu hingga ke Kinabatangan, ribuan warga Sabah keluar mengundi meskipun cuaca hujan renyai dan perjalanan yang jauh dari kampung ke pusat mengundi. Peratus keluar mengundi sekitar 64 peratus bukan sekadar statistik; ia adalah cerminan kesungguhan sebuah masyarakat majmuk yang percaya bahawa masa depan negeri ini harus ditentukan melalui suara mereka sendiri.

Walaupun saya sibuk di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2025 (SIBF 2025) yang bermula sehari sebelum hari pengundian, saya masih mencari masa dan ruang untuk mengikuti setiap detik sehingga Ketua Menteri pasca PRN mengangkat sumpah jawatan. Ada yang keluar mengundi seawal pagi dengan anak kecil di tangan, ada yang membawa warga emas menaiki bot kecil menyusuri sungai, dan ada yang meredah laluan tanah merah selama berjam-jam demi satu tanda pangkah. Cerita-cerita kecil ini jarang disorot laporan politik nasional, tetapi di sinilah terletaknya jiwa pilihan raya Sabah — medan tumpah setia, medan sebuah negeri yang tetap percaya kepada demokrasi meskipun sering berdepan gelora politik.

Kemenangan yang menguji, kekalahan yang mengajar

Dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meraih jumlah kerusi paling tinggi dan membentuk asas pembentukan kerajaan, keputusan PRN kali ini memperlihatkan landskap politik yang segar tetapi tetap kompleks. Kemenangan itu hadir bukan sekadar sebagai kejayaan parti, tetapi sebagai amanah besar untuk membuktikan bahawa Sabah tidak boleh disentuh hanya ketika musim pilihan raya.

Bagi pihak yang menang, ini masanya menterjemahkan janji menjadi tindakan: memperbaiki prasarana, memperluas akses pendidikan, meningkatkan peluang ekonomi belia dan membela hak-hak pribumi. Bagi yang tewas pula, keputusan ini menjadi guru terbaik — bahawa politik Sabah, dengan sifatnya yang cair, sentiasa menuntut kehadiran yang konsisten di lapangan, bukan sekadar retorik semasa kempen.

Denai bebas: Lima kerusi yang mengubah cerita

Salah satu kisah paling menarik daripada PRN Sabah 2025 ialah kemenangan lima calon bebas, sesuatu yang jarang berlaku dalam pilihan raya negeri lain tetapi tidak asing dalam sejarah politik Sabah. Negeri ini sentiasa punya kecenderungan meraikan personaliti, kerja buat dan hubungan setempat berbanding bendera parti.

Kejayaan lima calon bebas ini lahir daripada kepercayaan masyarakat akar umbi. Ada yang menjadi tempat rujuk ketika banjir, ada yang bekerja tanpa henti sepanjang pandemik, ada yang bertahun-tahun menjadi jambatan antara kampung dan jabatan kerajaan. Mereka menang bukan kerana poster paling besar atau jentera paling kuat, tetapi kerana kehadiran yang tidak pernah putus.

Kemenangan ini juga memberi mesej yang lantang: rakyat Sabah menghargai pemimpin yang benar-benar berada di sisi mereka. Bagi ramai penduduk luar bandar, isu pembangunan bukan soal slogan; ia berkait rapat dengan kehidupan harian — jalan kampung yang berlubang, harga hasil tani yang tidak stabil, tekanan hidup belia, dan bekalan air yang adakalanya terputus. Wakil-wakil bebas membawa suara ini ke dalam DUN dengan gaya yang lebih tulen, lebih organik, dan mungkin lebih berani.

Kehadiran lima ‘suara bebas’ ini bukan sahaja menambah warna politik Sabah, tetapi turut menjadi pengimbang moral kepada kerajaan baharu. Mereka menjadi ingatan bahawa demokrasi tidak pernah tertutup — ia sentiasa memberi ruang kepada mereka yang bekerja tanpa lambang parti, tetapi dengan hati.

Rasa dan nada rakyat di lapangan

Apa yang lebih mengesankan pada PRN kali ini ialah suara rakyat biasa. Ketika dalam kembara saya, banyak interaksi saya adalah dengan rakyat di lapangan. Di Kota Belud, seorang penjual kuih mengatakan, “Kami cuma mahu jalan kampung siap betul-betul.” Di Sandakan, seorang mahasiswa bercerita tentang kurangnya peluang pekerjaan. Di Tenom, seorang warga emas mengeluh tentang harga barang asas yang menekan hidup. Itu kisah pada 2018, dan masih relevan pada hari ini.

Nada rakyat tidak menuntut retorik hebat. Mereka menuntut sesuatu yang jauh lebih asas — kehadiran, tindakan, dan penyelesaian. Mereka mahu wakil rakyat yang memahami kehidupan sebenar, bukan hanya angka pembangunan. Inilah denyut nadi PRN Sabah — denyut tentang kehidupan dan kelangsungan.

Sabah dan politik jiwa berlapis

Kerumitan politik Sabah tidak pernah dapat diringkaskan melalui graf atau jadual keputusan. Ia terbina daripada hubungan pelbagai etnik, kepentingan tempatan, suara pemimpin akar umbi, serta sejarah panjang yang membentuk identiti negeri. Pengundi di Sabah mempertimbangkan pelbagai perkara ketika memilih — personaliti calon, rekod perkhidmatan, hubungan kampung, kepercayaan terhadap parti, dan isu-isu setempat yang tidak selalu muncul dalam debat nasional.

Di banyak kawasan, calon yang dekat dengan masyarakat lebih dihargai daripada calon yang membawa manifesto besar. Politik Sabah adalah politik sentuhan, bukan politik slogan.

Harapan baharu, luka lama

Walaupun kerajaan negeri kini mempunyai struktur baharu hasil PRN 2025, persoalan utama tetap terletak pada sejauh mana kepimpinan ini mampu menangani isu-isu lama yang masih membelenggu: jurang pembangunan antara bandar dan pedalaman, isu air dan elektrik, akses kesihatan, pendidikan, dan peluang ekonomi.

Rakyat Sabah tetap menaruh harapan — harapan yang tidak pernah mati — bahawa luka lama ini akhirnya dapat dirawat dengan dasar yang lebih jujur dan tindakan yang lebih telus.

Detik sunyi selepas bendera diturunkan

Namun selepas gegak-gempita kempen, ada satu detik yang sering tidak dirakam oleh lensa media: detik sunyi selepas bendera diturunkan. Detik apabila rakyat pulang ke rumah, menyambung rutin harian, memerhati dari jauh apakah pemimpin baharu benar-benar memikul amanah.

Bagi ramai penduduk pedalaman, janji bukanlah ukuran utama; yang mereka mahu hanyalah perubahan kecil yang membawa kesan besar — jambatan yang akhirnya siap, klinik desa yang berfungsi, guru yang cukup di sekolah rendah, atau peluang pelatih teknik bagi anak-anak muda yang tidak mampu ke universiti. Bagi mereka, politik bukan perdebatan di pentas; ia adalah persoalan hidup.

Rakyat Sabah mungkin tidak lantang di media sosial seperti di Semenanjung, tetapi mereka menyimpan memori politik yang panjang. Mereka mudah memaafkan, tetapi tidak mudah lupa. Mereka menilai pemimpin bukan pada ucapan, tetapi pada keberanian turun menyapa dan menyelesaikan masalah ketika tiada kamera memerhati.

Menang masa depan

Selepas gegak-gempita kempen dan sorakan kemenangan, masa untuk bekerja pun bermula. Rakyat kini memerhati dengan mata yang lebih tajam. Mereka mahu melihat pemimpin memenuhi amanah, bukan mengulangi sejarah lama yang meminggirkan suara mereka.

PRN 2025 membuka ruang untuk membentuk Sabah yang lebih stabil, lebih makmur dan lebih adil. Tanggungjawab kini terletak di bahu pemimpin yang dipilih — kerana rakyat Sabah sudah menjalankan tugas mereka.

Sabah tidak mencari kemenangan politik semata-mata. Sabah mencari kemenangan masa depan.

 

Penulis ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *