
KUALA LUMPUR: Percanggahan pendirian antara Presiden Umno Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh mengenai kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam Jemaah Menteri Sabah menunjukkan gabungan itu masih bergelut mencari hala tuju selepas kekalahan besar dalam PRN Sabtu lalu.
Semalam, pengerusi BN itu dilaporkan berkata beliau mahu wakil gabungan menyertai barisan Jemaah Menteri namun Akmal pula menegaskan ia wajar berada di blok pembangkang bersama Warisan dan Perikatan Nasional (PN).
Penganalisis dari Global Asia Consulting, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, ia ternyata memperlihatkan kerapuhan dalaman yang semakin ketara apabila kedua-duanya berbeza pendirian.
“Jika kepimpinan pusat tidak segera menyelaraskan mesej, BN Sabah boleh berpecah kepada kem pro-kabinet (Zahid) dan kem pro-pembangkang (Akmal).
“Ini akan melemahkan lagi jentera BN di Sabah yang sudah pun goyah selepas PRN. Krisis ini bukan sekadar soal jawatan, tetapi soal apakah BN Sabah mahu jadi parti maruah atau parti kuasa,” katanya kepada FMT.
Pada Sabtu, BN mencatatkan prestasi pilihan raya terburuk di Sabah dalam tempoh beberapa dekad ini apabila hanya menang enam daripada 45 kerusi yang ditandinginya.
Menyusuli keputusan itu, Zahid Hamidi berkata BN sudah mengemukakan senarai nama calon untuk dipertimbangkan bagi jawatan menteri dan timbalan menteri Sabah.
Akmal bagaimanapun berkata gabungan itu wajar kekal sahaja sebagai pembangkang negeri bersama Warisan dan PN, sambil menambah rakyat mahu melihat mereka ‘berubah dengan lebih baik’.
Namun pentadbiran Hajiji Noor mengumumkan BN dan Pakatan Harapan (PH) secara rasmi bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membentuk kerajaan Sabah.
Mengenai reaksi akar umbi, Zaharuddin berkata penyokong melihat percanggahan itu sebagai tanda ketidakstabilan parti selain menilai BN Pusat yang hanya ingin mengejar jawatan atau sekadar bermain retorik.
“BN Sabah pula dilihat tidak fokus kepada isu sebenar rakyat iaitu air, elektrik, kos sara hidup sebaliknya sibuk dengan dilema antara maruah dan jawatan,” katanya.
Senada dengan Zaharuddin, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata percanggahan itu bukan sahaja mencetuskan kekeliruan, malah menonjolkan risiko perpecahan dalam parti serta persoalan asas tentang hala tuju BN.
“Bagi akar umbi, situasi ini sudah tentu mengecewakan. BN kini kelihatan seperti bahan ketawa bukan sahaja kerana kalah banyak kerusi, tetapi ditambah pula dengan ketidaktentuan hala tuju.
“Jika BN menyertai GRS, ia memang memberi peluang untuk sama-sama membangunkan Sabah, tetapi kerana kedua-dua pihak enggan bekerjasama sebelum pilihan raya, langkah itu kini nampak seperti tindakan oportunis,” katanya.
