
PETALING JAYA: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan menyamun dua kedai runcit bulan lalu.
Mohd Irfan Azieyadi Abdul Aziz, 44, dari unit kereta peronda IPD Kota Bharu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Zulkifli Abllah.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyamun pembantu kedai warga Pakistan, Sabz Ali Asef Khan dengan mengambil RM400 di sebuah kedai runcit di Kampung Beris Jambu, Pengkalan Chepa pada 6.20 petang 8 Nov lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyamun seorang lagi pembantu kedai runcit warga Pakistan, Amjad Ali Khan di sebuah kedai di Kampung Chempaka pada 4.40 petang 10 Nov lalu.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri memohon tertuduh diberikan jaminan atas alasan isterinya menghidap kanser ovari tahap tiga, diabetis dan asma.
“Tertuduh juga berpenyakit darah tinggi dan kehabisan ubat serta perlu menghadiri temu janji minggu ini,” katanya menurut Sinar Harian.
Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli yang tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh, membantah permohonan itu kerana semua penyakit berkenaan tiada bukti dokumen.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan dua penjamin bersyarat, iaitu mengemukakan alamat tempat tinggal tetap, tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa, selain tertuduh perlu melaporkan diri sebelum 5 hari bulan setiap dua bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kota Bharu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberikan dirinya amphetamine dan methamphetamine ketika di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Bharu pada 3 pagi 19 Nov lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun serta pengawasan mandatori dua hingga tiga tahun mengikut Seksyen 38B akta sama, jika sabit kesalahan.
Majistret Rais Imran Hamid membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan sebutan semula semua kes pada 7 Jan depan.
