Kawan kita punya hal

ronasina

Tak siapa menolak bahawa hidup kita ini amat memerlukan kawan. Fitrah manusia sudah begitu sejak azali. Kisah Adam kesunyian walaupun tinggal di dalam syurga, sebuah tempat penuh bahagia dengan segala macam nikmat yang ada; tetap berasa tak sempurna tanpa seorang kawan untuk sama berkongsi pengalaman dan paling penting, menjadi saksi kewujudan dirinya. Keberadaan dan kebahagiaan diri peribadi kita sangat bermakna sekiranya kita punyai teman.

Kita mula kenal dan berkawan dengan mak ayah kita sewaktu kita kecil, kemudian dengan adik-beradik sehinggalah kita mula keluar dari rumah bertemu saudara-mara, jiran dan seterusnya rakan di sekolah. Dari situ, kita memahami perilaku manusia untuk dibuat kawan dan mengenal keperibadian kita sendiri.

Ada kawan kita sejak kanak-kanak masih terus kekal sampai hari ini. Di sini, saya selalu berfikir bahawa kawan yang serasi itu tetap tak berubah meskipun usia terus meningkat. Walau masa berubah dan kita dewasa dengan kelulusan dan pekerjaan yang berbeza namun itu sedikitpun tak menjadi halangan terhadap nilai persahabatan yang telah terpupuk sekian lama. Bila berkumpul bersama, kita akan terus bercerita tentang kenangan masa kita kanak-kanak dahulu.

Ada hubungan yang putus antara waktu itu disebabkan pendirian dan haluan pemikiran kita sudah tak lagi sama. Ada juga antara kawan baik kita yang tidak lagi akrab seperti dulu walaupun tak ada peristiwa besar yang menggugat. Sesekali apabila terserempak, kita hanya sekadar berbasa-basi lebih kurang sahaja dan terus berlalu. Agaknya ‘chemistry’ sudah tiada, maka masing-masing berasa tiada lagi ikatan mesra. Sahabat karib akhirnya jadi biasa-biasa.

Yang kita jumpa dalam sebuah pengembaraan, berkenalan dan esoknya hilang – itu bukan kawan. Itu hanya kenalan. Yang itu memang ramai. Itu kita tolak ke tepi, tak dikira sebab mereka tidak banyak terlibat dalam hidup kita.

Biasanya, persahabatan musnah sebab duit. “Apabila kita beri kawan pinjam duit, bersiap-sedialah akan kehilangannya.” Kata saya kepada seorang kawan yang bersungut apabila tiga empat orang kawan kami tidak lagi bersama selepas meminjam wang kepada kami. Hanya kerana wang, mereka menjauh sehingga kenangan dan pengalaman bersama, runtuh begitu saja.

Nasir Jani dalam bukunya ‘Brader, Kita Mesti Terus Hidup’ ada menceritakan tentang kategori kawan. Katanya, ada kawan yang boleh kita bawa ke rumah tapi ada kawan yang hadnya memadai setakat berbual di tepi jalan sahaja. Saya setuju. Dulu, saya menerima saja sesiapa datang ke rumah tak kira apa jenis kawan dan apa hubungan persaudaraan. Pintu rumah sentiasa mengalu-alukan kunjungan kawan. Akhirnya apa yang berlaku, ada yang keluar rumah kita dengan menyebarkan cerita-cerita buruk tentang kita. Tentang rumah busuk bau tahi kucing, susunan perabot berselerak dan macam-macam lagi. Kalau setakat itu sahaja saya pun ketawa tapi ia lebih daripada itu. Habis segala yang tak elok dihebahkannya. Yang tak diceritakan kepada orang lain ialah tentang wang yang dia pinjam atau barang yang dia ambil dan tak pulangkannya sampai hari ini. Pendek kata, tidak ada satu kebaikan pun yang kita pernah buat untuk mereka walaupun mereka bebas makan-minum di rumah kita.

Ada yang terus tidak datang ke rumah lagi selepas mendengar hasutan dari pihak lain padahal kita sudah saling mengenali bertahun-tahun, sudah biasa tidur-baring di rumah kita. Dia lebih percaya mulut orang lain, yang tak pernah langsung mengajak dia ke rumahnya. Maknanya, layanan ikhlas kita selama ini kepadanya tak ada nilai langsung. Pun begitu, tak mengapalah. Sebab itulah, saranan Nasir Jani itu kini saya praktikkan.

Ada pula kawan yang hanya hubungi kita apabila dia dilanda masalah. Tak kiralah sama ada masalah duit atau perasaan, kitalah tempat dia mengadu sehingga kita boleh baca – apabila pesanan ringkasnya masuk di telefon, itu tandanya dia mesti ada masalah. Tetapi waktu gembira, dia melepak dengan kawan lain. Rupanya, barulah kita faham tentang ‘circle’ kawan. Dia sedang bergembira dengan ‘circle’ kawan gembira. Kita tak termasuk di dalam kumpulan itu. Kita duduk di dalam ‘circle’ kawan yang diperlukan ketika dia susah. Sekali lagi, tak mengapalah! Kita harus berlapang dada. Usahlah merajuk jika kawan jenis ini tak hubungi kita. Itu bererti dia sedang bahagia. Sebagai kawan, sewajarnya kita doakan agar dia terus bahagia.

Zaman media sosial ini lagi mencabar penangannya. Kita dipura-purakan dengan istilah ‘friend’ di ruang maya. Kita percaya kita ada ramai kawan walhal kebanyakannya kita tak pernah bersua dan tak pernah tahu hati-budi masing-masing. Saya sendiri pernah hilang kawan di alam nyata akibat adu-domba oleh kawan alam maya yang tak pernah duduk semeja. Kadang-kadang kita tersinggung dengan post kawan-kawan rapat kita yang menaikkan kandungan berbentuk perli dan sindiran sehingga kita berteka-teki akan maksudnya. Adakah kita yang disindirnya? Tak pasal-pasal kita bergaduh.

Pada saya, kita kena bertenang dan merenung kembali diri kita juga di cermin. Kata orang dulu-dulu ‘kawan ketawa seribu, kawan menangis seorang belum tentu’ itupun perlu dihadam betul-betul nampaknya. Kita berasa begitu ketika nasib malang sedang menimpa kita. Kita jauh hati sebab kawan-kawan yang kita rasa baik telah menjarak diri walhal mungkin ketika kawan kita susah, kita juga tiada di sisi atau kita bersikap bena tak bena saja. Saya percaya ketika kita merajuk dengan kawan kita yang kita sifatkan lupa diri, mungkir janji atau tak mengenang budi – sebenarnya pada satu sisi lain, kita juga berbuat sedemikian terhadap kawan-kawan kita yang lain. Kita tak sedar yang kita juga telah mengabaikan kawan yang benar-benar jujur bersahabat dengan kita.

Saya percaya kita berkelakuan begitu dengan tak sengaja dan tak berniat pun melakukannya tetapi atas kelemahan sebagai seorang manusia, kita terlepas pandang. Adat dunia agaknya memang begini, pada satu sisi kita mungkin dipandang mulia oleh sahabat kita dan pada satu sisi lain, kitalah makhluk paling jahat. Ada yang akan bermati-matian mengatakan kita bagus sementara di pihak lain pula akan bersungguh-sungguh mengatakan kita teruk. Justeru, dalam berkawan biarlah kita jujur menerima kebaikan dan kelemahan kawan kita. Paling penting, kita juga mestilah jujur dalam berkawan tanpa ada niat hendak mengambil kesempatan.

Dalam berkawan, teringat saya rangkap lagu ‘Kawan’ nyanyian kumpulan Kembara:

“Alangkah perlunya mencari kawan
Sudahkah kau menduga
Kawan yang membawa kita bersama
Ke jalan kebenaran
Cubalah hidup sendiri
Mungkin kau kan mengerti.”

Yang penting, falsafah (diistilahkan sebagai ‘falsampah’) dalam majalah Gila-Gila sangat saya pegang: ‘biar makan berkawan tapi jangan makan kawan’.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *