
PETALING JAYA: Jabatan Tenaga Kerja akan menyiasat bekas majikan Safiudeen Pakkeer Mohamed, pekerja migran yang menjadi perhatian media selepas klip video menunjukkan beliau dihina di luar sebuah bank tular baru-baru ini.
“Kami membuka kertas siasatan atas kesalahan di bawah Akta Kerja 1955 dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446),” kata jabatan itu kepada FMT dalam satu kenyataan.
Akta Kerja 1955 menetapkan standard minimum bagi gaji, waktu kerja, cuti dan keselamatan tempat kerja.
Akta 446 pula memperincikan keperluan dan peraturan yang mesti dipatuhi oleh majikan dalam menyediakan perumahan, penginapan dan kemudahan kepada pekerja.
Baru-baru ini, video menunjukkan Safiudeen disembur air dan ditendang di luar sebuah bank telah mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial.
Rakaman itu menunjukkan seorang pengawal keselamatan menyembur air ke arahnya, sebelum seorang lelaki menendang beliau, membaling barangannya dan menyimbah air sekali lagi.
Safiudeen memberitahu FMT bahawa sebelum insiden itu, beliau bekerja di sebuah restoran di Sri Gombak, Kuala Lumpur, dengan gaji kecil sebagai tukang masak.
Namun, majikannya menahan pasport serta gajinya — kadangkala selama berbulan-bulan, dakwa Safiudeen.
Beliau berkata pada Mac lalu, gajinya dipotong majikan sehingga RM1,800, kononnya bagi tujuan pembaharuan permit kerja.
Safiudeen akhirnya berhenti kerja. Beliau yang tidak mempunyai tempat tinggal menumpang rumah kawan sebelum diarah keluar hingga terpaksa tidur di kaki lima.
Jabatan Tenaga Kerja turut mengesahkan bahawa bekas majikan Safiudeen telah membayar semua tunggakan gaji dan menanggung kos tiket penerbangan untuk pulang ke kampung halamannya di Tamil Nadu, India.
“Kami berjaya bantu menyelesaikan kes tersebut,” kata jabatan itu.
Safiudeen dijadual berlepas pulang ke India malam ini.
