
KUALA LUMPUR: Persekutuan Antarabangsa Pemain Bolasepak Profesional (Fifpro) menyifatkan penggantungan tujuh pemain dalam kes pemalsuan dokumen rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak “sangat tidak seimbang” dengan keadaan sebenar.
Fifpro memaklumkan sangat jelas pemain terbabit sebenarnya mangsa dan keputusan itu mengesahkan mereka tidak memalsukan sebarang dokumen bagi mendapatkan kelayakan, dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) secara jelas mengakui dokumen dikemukakan itu tulen.
“Apabila tidak kurang daripada tujuh pemain dalam situasi sama, jelas bahawa sebarang kemungkinan pemalsuan dokumen bukan berpunca daripada tindakan individu.
“Pemain juga tiada cara mendapatkan pengesahan mengikat secara individu daripada Fifa berhubung kelayakan mereka, prosedur yang tidak diwajibkan di bawah peraturan semasa,” katanya dalam kenyataan.
Fifpro memaklumkan keadaan itu dianggap membimbangkan kerana pemain dipertanggungjawabkan atas dokumen yang sebenarnya dikemukakan sebuah persatuan kebangsaan kepada Fifa, seolah-olah pemain wajib mengesahkan dokumen yang bukan dikeluarkan atau diserahkan mereka sendiri.
Katanya, tujuh pemain itu mematuhi keseluruhan proses ditetapkan, termasuk mengemukakan dokumen peribadi, hadir di depan pihak berkuasa Malaysia, menjalani prosedur angkat sumpah, menerima pasport dikeluarkan kerajaan dan menunggu kelulusan kelayakan FAM.
“Semua langkah diuruskan institusi di luar kawalan mereka, namun kini mereka berdepan penggantungan daripada kelab serta akibat serius yang menyusul, tanpa sebarang kesalahan daripada pihak mereka.
“Fifpro menyatakan sokongan penuh kepada pemain dan percaya Mahkamah Timbang Tara Sukan akan mengetepikan ketidakadilan ini.”
Pada 3 Nov lalu, Fifa menolak rayuan FAM dan tujuh pemain warisan – Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Jawatankuasa Rayuan Fifa mengekalkan hukuman dikenakan Jawatankuasa Tatatertib badan induk bola sepak dunia itu terhadap FAM dan tujuh pemain naturalisasi berkenaan atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa.
FAM didenda 350,000 franc Switzerland (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Switzerland (kira-kira RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
