
KUANTAN: Seorang bekas pengurus syarikat didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu melibatkan komisen projek pemasangan papan iklan lima tahun lepas.
Mohd Yusof Ibrahim, 58, didakwa memperdaya seorang pemilik syarikat untuk mempercayai bahawa pengarah pembangunan sebuah syarikat pengiklanan meminta komisen RM30,000 bagi mendapatkan projek memasang dan menyelenggara papan iklan bersaiz 2,200 x 2,400 milimeter di kawasan awam, perumahan serta sekolah.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di daerah Kuantan antara Jun hingga Julai 2020 mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan atas alasan dia tidak lagi bekerja dan menanggung isterinya seorang suri rumah dan dua anak mereka serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rabiatul Addawiah Mohd Norlee memohon hukuman berat dan setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat.
Hakim Sazlina Safie memerintahkan Mohd Yusof membayar denda RM60,000 atau berdepan hukuman penjara selama enam bulan.
Yusof membayar denda itu.
