Dua wakil rakyat STAR, Jeffrey Kitingan yang menang di kerusi Tambunan manakala Mohd Ishak Ayub menawan Bingkor pada PRN Sabah semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyokong Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor yang kembali mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.
Mengucapkan tahniah kepada Hajiji, Presidennya Jeffrey Kitingan menyifatkan keputusan rakyat sebagai jelas dan wajar dihormati, selain mencerminkan suara serta aspirasi rakyat Sabah.
“Seiring langkah ke depan, STAR komited untuk terus menyokong ketua menteri dan menyumbang secara konstruktif kepada agenda kerajaan untuk kemajuan dan kestabilan.
“Sabah layak mempunyai kerajaan yang bekerja bersama-sama, terutamanya dalam hal hak Perlembagaan dan kedaulatan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Pada PRN Sabah semalam, STAR menang dua kerusi menerusi Kitigan yang mempertahankan Tambunan dan Mohd Ishak Ayub di Bingkor.
Hajiji mengangkat sumpah sebagai ketua menteri untuk penggal kedua selepas partinya meraih 29 kerusi selain disokong tiga Adun Upko, lima dari bebas dan Adun Melalap Jamawi Jaafar dari Pakatan Harapan (PH).
Mereka adalah Ewon Benedick (Kadamaian), Donald Peter Mojuntin (Moyog), Wilfred Madius Tangau (Tamparuli), Fairuz Renddan (Pintasan), Rina Jainal (Kukusan), Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas), Maijol Mahap (Bandau) dan Jordan Jude Ellron (Tulid).
Kitingan turut menegaskan komitmen jangka panjang STAR terhadap hak penerimaan 40% pendapatan Sabah.
“Oleh kerana perundingan ini hanya boleh dijalankan antara kerajaan ke kerajaan, mustahak Sabah mempunyai suara kukuh dan berpegang kepada prinsip terlibat dalam proses itu.
“Perjuangan ini sentiasa menjadi inti kepada STAR dan kami bersedia menyokong sebarang usaha ikhlas dan berani memastikan apa yang sepatutnya menjadi hak Sabah,” katanya.
