Siti Aminah Hashim, 71, hadir untuk membuang undi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Serusup, Tuaran sambil dibantu dibantu petugas SPR.
TUARAN: Proses pengundian bagi PRN Sabah ke-17 yang bermula seawal jam 7.30 pagi tadi berlangsung dalam suasana tenang dengan keadaan cuaca sejuk dan mendung.
Tinjauan FMT di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Serusup, Tuaran mendapati pengundi beratur sejak 7 pagi sebelum pintu pagar sekolah dibuka tepat setengah jam selepas itu.
Keadaan lancar dengan proses pengundian dikawal rapi oleh anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertugas bagi memastikan semua prosedur dan garis panduan dipatuhi.
Antara yang menarik perhatian di DUN Sulaman ialah warga emas Siti Aminah Hashim, 71, yang hadir menaiki kerusi roda sambil dibantu petugas SPR.
Menurut Aminah, keadaannya yang uzur dengan strok separuh badan tidak menghalangnya menyertai pesta demokrasi untuk memilih kerajaan baharu.
“Saya mahu tunaikan tanggungjawab sebelum saya tutup mata, belum tentu pilihan raya lepas ini saya dapat pergi lagi,” katanya selepas membuang undi.
Sementara itu, calon pertama yang hadir membuang undi adalah Tiaminah @ Siti Aminah Ele mewakili Perikatan Nasional (PN) yang tiba di sini pada 8.45 pagi.
Manakala calon Barisan Nasional (BN), Shahnon Rizal Thajuddin selesai membuang undi di Sekolah Menengah ST John Tuaran pada 8.54 pagi tadi.
Calon Warisan, Mokhtar Hussin mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Bolong, Tuaran 8.45 pagi.
Sementara itu, Ketua Menteri sementara Hajiji Noor dijangka membuang undi di SK Serusup pada 11 pagi ini.
Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berdepan saingan lima penjuru termasuk dari BN, Warisan PN dan Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah).
PRN hari ini menyaksikan persaingan sengit di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan melibatkan parti-parti utama termasuk GRS, Warisan, BN, PN, PH dan 74 calon Bebas.
Proses pengundian dijangka tamat pada 5 petang dan keputusan awal dijangka mula diketahui seawal 7 malam.
