Calon GRS Dun Sulaman merangkap Ketua Menteri sementara Sabah Hajiji Noor bersama isteri membuang kertas undi di Sekolah Kebangsaan Serusup,Tuaran.
TUARAN: Ketua Menteri sementara Hajiji Noor menyeru pengundi supaya keluar awal menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRN Sabah ke-17, mengambil kira ramalan hujan pada sebelah petang.
Bercakap kepada media selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Serusup, Tuaran, beliau berkata proses pengundian di seluruh negeri setakat ini dilaporkan berjalan lancar dengan cuaca baik.
“Setakat ini laporan yang saya terima semuanya baik, aman dan damai. Walaupun banyak calon bertanding, keharmonian mesti dipertahankan,” katanya.
Hajiji turut menggalakkan pengundi berdaftar keluar lebih awal bagi mengelakkan kesulitan sekiranya cuaca berubah.
“Di Tuaran pagi ini cuaca baik, tetapi mengikut ramalan mungkin hujan pada petang. Jadi datanglah awal untuk mengundi,” katanya.
Beliau yang hadir pada 11.15 pagi bersama isteri dan empat anak selesai membuang undi pada 11.45 pagi, sambil menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang menggembirakan.
Mengulas peluang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di DUN Sulaman, Hajiji berkata beliau kekal optimis mampu mempertahankan kerusi itu.
“Harapan saya di Sulaman ini amat yakin GRS akan memperoleh kemenangan. Kita tunggu keputusan nanti,” katanya.
Beliau dijangka berada di Sri Gaya, Kota Kinabalu pada sebelah petang untuk mengikuti perkembangan keputusan rasmi.
Hajiji dalam misi mempertahankan Sulaman bagi penggal ketujuhnya dengan pertembungan lima penjuru.
Beliau ditentang calon muda dan muka baharu daripada Barisan Nasional (BN), Shahnon Rizal Thaijuddin selain Mokhtar Hussin (Parti Warisan), Tiaminah @ Siti Aminah Ele (Perikatan Nasional) dan Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah).
