Bung-Shafie runding pakatan baharu di bangunan Umno, kata sumber

Shafie Apdal dan Bung Moktar Radin dikatakan bertemu malam tadi untuk rundingan pakatan membentuk kerajaan Sabah.

KOTA KINABALU: Presiden Warisan Shafie Apdal dan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin dipercayai berunding untuk menubuhkan kerajaan baharu walaupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dikatakan berada di depan.

Sumber memberitahu, pertemuan dua pemimpin pembangkang di peringkat negeri itu berlangsung di bangunan Umno, malam tadi, sebaik sahaja keputusan di 73 DUN mula diumum secara rasmi dan tidak rasmi.

Dakwa sumber itu, mereka berbincang tentang kemungkinan menggabungkan Warisan, BN, Upko dan Pakatan Harapan (PH).

“BN pada peringkat ini hanya mahu membentuk kerajaan. Terutama kerjasama dengan parti yang sehaluan dengannya,” katanya kepada FMT.

Pengerusi BN, Zahid Hamidi, juga berada di bangunan Umno untuk mengikuti keputusan PRN yang menyaksikan gabungan itu secara tidak rasmi hanya menang tujuh kerusi daripada 45 DUN ditandinginya.

Zahid dalam kenyataan memberitahu, BN sedia bekerjasama dengan mana-mana parti sehaluan dengannya untuk membentuk kerajaan.

Namun, terdahulu sumber lain memberitahu FMT, tiga wakil Upko yang menang PRN berdiri teguh menyokong Pengerusi GRS Hajiji Noor sebagai ketua menteri.

Mereka adalah Presiden Upko Ewon Benedick yang menang di DUN Kadamaian, Timbalannya Donald Peter Mojuntin (Moyog) dan Presiden Kehormat Wilfred Madius Tangau (Tamparuli).

Sebelum itu, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh memberitahu Pakatan Harapan (PH) yang secara rasmi menang satu kerusi di Melalap, juga berunding dengan Hajiji bagi penubuhan kerajaan.

GRS bekerjasama dengan PH yang pada masa sama turut mempunyai pakatan dengan BN. Namun, BN dan GRS tidak menjalinkan kerjasama.

Lima wakil bebas yang menang PRN Sabah semalam juga dikatakan menyokong Hajiji. Mereka adalah Fairuz Rendan (Pintasan), Rina Jainal (Kukusan), Maijol Mahap (Bandau), Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas) dan Jordan Jude Ellron (Tulid).

Mengikut keputusan tidak rasmi, GRS menang 29 kerusi, kurang lapan untuk mendapati 37 majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Warisan pula dikatakan boleh menang sehingga 24 kerusi.

Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pula masing-masing menang satu kerusi.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *