Sukarelawan Malaysia henti operasi selamat mangsa banjir di Hatyai

Ketua Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani Leong Beng Tat berkata semua permohonan bantuan baharu akan disalurkan terus kepada tentera dan polis Thailand untuk tindakan lanjut. (Gambar X)

PETALING JAYA: Pasukan sukarelawan Malaysia di Hatyai, Thailand terpaksa menghentikan operasi menyelamat selepas tentera Thailand mengisytiharkan beberapa kawasan berbahaya dan tidak selamat dimasuki.

Ketua Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani, Leong Beng Tat yang menggerakkan operasi itu berkata, operasi menyelamat sejak lima hari lalu bersama sukarelawan dari Johor, Perak, Selangor serta beberapa pasukan dari negeri utara dihentikan 7 malam tadi.

Menurutnya, tentera Thailand mengarahkan operasi dihentikan selepas beberapa zon banjir dikenal pasti berisiko tinggi, termasuk arus deras, struktur runtuh dan laluan tidak stabil.

“Kita sedar walaupun masih ada rakyat Malaysia di kawasan terjejas, tetapi sukarelawan tidak dibenar meneruskan operasi atas faktor keselamatan.

“Selepas ini, sebarang permohonan bantuan baharu kami akan salurkan terus kepada pihak tentera dan polis di Thailand untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Harian Metro.

Leong berharap rakyat Malaysia dapat terus memberi sokongan moral kepada pasukan bomba sukarela yang sering menjadi barisan hadapan ketika bencana besar.

Katanya, semua ahli pasukan menanggung sendiri semua kos sepanjang berada di Thailand demi membantu rakyat Malaysia terkandas.

“Sepanjang operasi, ada anggota kami yang cedera, namun kami tetap bersyukur sempat menyelamatkan ramai pelancong Malaysia.”

Beliau berkata, pasukan itu membantu sekurang-kurangnya 1,500 rakyat Malaysia keluar dari kawasan banjir di Hatyai dan kembali ke tanah air sejak lima hari lalu.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri berkata, kurang daripada 300 rakyat Malaysia masih terkandas, dengan dua hotel penginapan mereka masih tidak dapat diakses akibat paras air yang tinggi.

Wisma Putra berkata, operasi menyelamat berskala besar dijalankan dari 8 pagi hingga 1 tengah hari semalam untuk memindahkan rakyat Malaysia terkandas, dengan bantuan tentera Thailand.

Katanya, usaha itu akan diteruskan sehingga semua rakyat Malaysia terjejas dipindahkan.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *