Kira-kira 1.76 juta rakyat Sabah yang layak akan memilih wakil mereka di 73 kerusi DUN pada Sabtu ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Kerajaan Sabah mengisytiharkan Sabtu ini, hari pengundian PRN, sebagai cuti umum.
Pengumuman itu disahkan menerusi warta rasmi yang diterbitkan di laman web kerajaan negeri.
“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 9 Ordinan Hari Kelepasan, Yang di-Pertua Negeri menetapkan 29 Nov (Sabtu) sebagai Hari Kelepasan sebagai tambahan kepada hari yang disebut dalam Jadual Pertama Ordinan,” menurut warta tersebut.
Kira-kira 1.76 juta rakyat Sabah yang layak akan memilih wakil mereka di 73 kerusi DUN Sabtu ini, menerusi 3,558 saluran di 882 pusat mengundi.
Terdahulu dilaporkan kebanyakan kawasan di Sabah diramal mengalami ribut petir Sabtu ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan, hujan dijangka melanda di beberapa tempat pada waktu pagi.
Sementara itu, pada sebelah petang, ribut petir diramal berlaku di kebanyakan tempat di kawasan pedalaman, manakala hujan dijangka melanda di beberapa tempat pada waktu malam.
