SPRM siasat dakwaan rasuah babit Albert Tei, Shamsul

Albert Tei dan Shamsul Iskandar Akin terbabit dalam dakwaan rasuah berkait isu di Sabah.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat segera dakwaan pemberian rasuah melibatkan ahli perniagaan Albert Tei dan bekas setiausaha politik kanan perdana menteri Shamsul Iskandar Akin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam kenyataan berkata kedua-dua pihak akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan berhubung tohmahan itu.

“SPRM juga akan memanggil semua individu berkaitan bagi tujuan mengumpul keterangan dan bukti diperlukan.

“Orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu itu dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Semalam, Shamsul meletak jawatan sebagai setiausaha politik kanan kepada perdana menteri dengan mendakwa wujud percubaan menyerangnya dengan perkara boleh merosakkan imej kerajaan Madani.

Tidak lama selepas itu, Malaysiakini melaporkan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, mendakwa beliau telah membelanjakan sebanyak RM629,000 ke atas Shamsul.

Ia termasuk bagi kerja ubah suai hartanah yang dikaitkan dengan pemimpin PKR Melaka itu, selain pemberian cerut premium dan sut tempahan khas.

Shamsul sebelum ini terpalit kontroversi pengeluaran surat sokongan bagi kontraktor dalam sebuah projek hospital.

Tei pula didakwa pada Jun lalu atas dua pertuduhan memberi rasuah kepada dua Adun Sabah berhubung skandal pelesenan mineral di negeri itu.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *