Dedah wujud atau tidak ‘unit khas’ terlibat kehilangan paksa, KDN diberitahu

Teresa Kok berkata keputusan mahkamah yang merujuk dapatan Suhakam dan pasukan petugas khas secara jelas mengaitkan penglibatan polis dalam kehilangan aktivis Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh.

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan sama ada wujud atau tidak pasukan khas atau unit tidak rasmi dalam agensi penguatkuasaan yang pernah menjalankan operasi kehilangan paksa termasuk yang melibatkan aktivis Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh.

Teresa Kok (PH-Seputeh) juga menggesa kerajaan menjelaskan mekanisme sebenar untuk menjejak individu yang terlibat sekiranya pasukan seperti itu tidak pernah ditubuhkan.

Beliau berkata keputusan mahkamah yang merujuk dapatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 2019 dan pasukan petugas khas secara jelas mengaitkan penglibatan polis khususnya Cawangan Khas dalam operasi penculikan kedua-dua mereka.

“Saya nak tanya kepada KDN apakah wujudnya unit, pasukan khas, skuad atau ejen dalam agensi penguatkuasaan yang pernah menjalankan operasi yang membawa kepada kehilangan paksa seperti yang dirumuskan oleh Suhakam (dalam kes Amri dan Koh).

“Jika tidak, apakah langkah kerajaan untuk mengenal pasti kumpulan atau individu yang terlibat selaras dengan obligasi negara mencegah dan menyiasat kehilangan paksa,” soalnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) kementerian itu di Dewan Rakyat.

Pada 5 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan dan polis membayar RM37 juta kepada keluarga Koh berhubung penglibatan pihak berkuasa dalam penculikannya.

Mahkamah turut memerintahkan kerajaan dan polis membayar lebih RM3 juta kepada keluarga Amri kerana gagal menjalankan siasatan yang sewajarnya terhadap kehilangan beliau.

Dalam kes Koh, Hakim Su Tiang Joo memutuskan bahawa seorang atau lebih defendan, yang merupakan pegawai polis kini dan bekas pegawai, terlibat dalam penculikan Koh dan bertindak atas arahan lapan tahun lalu.

Koh diculik pada 13 Feb 2017 ketika memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya. Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa lima lelaki bertopeng berpakaian hitam seperti tentera menariknya keluar dari kereta.

Amri, pengasas NGO Perlis Hope, keluar dari rumahnya kira-kira 11.30 malam pada 24 Nov 2016. Keretanya ditemui di kawasan pembinaan berhampiran Sekolah Sukan Bukit Cabang di Perlis pada awal pagi keesokannya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *