Setiap kali musim tengkujuh, Kelantan mengulangi skrip sama. Bandar seperti Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas dan Pasir Puteh kembali ditenggelami air.
Skrip ini tidak berubah sejak beberapa dekad. Yang sepatutnya merisaukan kita bukanlah hujan, yang boleh diramal tetapi ketiadaan sistem perparitan bandar dan pengurusan banjir yang sepatutnya melindungi kawasan ini.
Seperti yang pernah saya jelaskan dalam penulisan di FMT pada 26 Mac 2024, Kota Bharu may have no proper drainage but has plenty of hope, isu utama adalah tiadanya struktur utama untuk mengelak daripada terjadinya banjir, bukan mengelak musim.
Kawasan bandar tanpa sistem perparitan dan pengurusan air hujan
Kebanyakan bandar yang berfungsi di serata dunia dibina dengan rangkaian perparitan kejuruteraan yang mampu menyalirkan air ribut dengan selamat dari kawasan berpenduduk.
Namun bandar-bandar di Kelantan masih bergantung kepada tanah rendah semula jadi, longkang-longkang kecil yang tidak mencukupi, dan tindakan menahan air secara tergesa-gesa, yang tidak berkesan ketika hujan monsun.
Komponen asas mitigasi banjir moden sama ada tidak wujud atau terlalu terbelakang:
Longkang asas yang disambung kepada longkang utama dan longkang monsun.
Kolam takungan dan kolam tadahan.
Stesen pam di lokasi-lokasi kritikal.
Laluan limpahan berterusan ke sungai atau laut.
Pengurusan kelodak atau sedimentasi dan kerja pengerukan berjadual.
Pemodelan hidraulik untuk meramal beban ribut
Di Kelantan tiada satu pun kemudahan asas yang disenaraikan ini, dibina dan wujud pada kapasiti yang diperlukan. Akibatnya, walaupun hujan monsun sederhana, sudah cukup untuk melumpuhkan sistem sedia ada.
Titik buta teknikal berdekad lamanya
Apa yang paling menghairankan ialah ketiadaan sebarang pelan induk kejuruteraan asas untuk menangani masalah ini secara jangka panjang.
Banjir berulang setiap tahun, namun pihak berkuasa perancang tidak pernah memajukan penyelesaian komprehensif; tiada rangkaian perparitan terperinci, tiada saluran lencongan banjir, tiada model hidrologi peringkat lembangan.
Sebaliknya, pengurusan banjir kekal bersifat reaktif, tertumpu pada respons kecemasan dan bukannya pencegahan struktur secara menyeluruh.
Ini menimbulkan persoalan yang tidak selesa: Bagaimana sebuah negeri boleh menanggung fenomena merosakkan yang sama setiap tahun tanpa mendesak penyelesaian teknikal?
Jika Kelantan berada di Belanda…
Jika Kelantan terletak di Belanda, masalah ini sudah diselesaikan setengah abad yang lalu.
Negara Belanda, yang berdepan cabaran air jauh lebih besar, membina identiti nasional dengan cara perancangan kejuruteraan bagi mengatasi banjir.
Mereka membangunkan:
Sistem terusan yang mampu menangani ribut 100 tahun (atau 100 year storm).
Rangkaian tanah rendah atau ‘polder’ untuk mengawal paras air bandar.
Kolam takungan dan stesen pam pintar.
Lencongan sungai bagi melindungi kawasan berpenduduk.
Amsterdam adalah contoh sempurna yang boleh dikenal pasti dan dilawati untuk dilihat dengan lebih dekat.
Terusan-terusannya bukan sekadar menyalirkan air ribut: ia membolehkan rangkaian pengangkutan atau mobiliti penumpang.
Terusan menjadi identiti Amsterdam, memperkayakan kehidupan bandar, meningkatkan nilai hartanah, menyokong pelancongan dan membentuk keunikan bandar dan sejarah.
Air dilihat bukan sebagai ancaman, tetapi sebahagian daripada persekitaran, infrastruktur yang ditukar menjadi manfaat besar.
Mengapa tiada sistem terusan untuk Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat?
Tiada sebab dari sudut teknikal dan perancangan, mengapa Kelantan tidak boleh membangunkan sistem terusan dan laluan takungan yang berskala besar dan sesuai seperti di Belanda.
Rangkaian terusan yang serupa, mampu:
Mengurangkan tekanan ke atas lembangan Sungai Kelantan.
Mengagihkan aliran hujan monsun dengan lebih cekap.
Menurunkan kemuncak aliran yang menyebabkan banjir di pusat bandar.
Mewujudkan koridor hijau dan zon rekreasi.
Meningkatkan daya huni dan daya tahan bandar.
Membuka peluang pengangkutan awam berasaskan air.
Daripada pengembangan tidak terancang dan masalah takungan air berterusan, Kelantan boleh mereka bentuk semula bandar-bandarnya dengan seni bina terusan air yang pintar dan tahan iklim, seperti dilakukan di Hoi An, Vietnam; satu contoh yang agak dekat.
Tetapi sebaliknya, kita mendapat tembok di sepanjang Sungai Golok.
Ini amat mengecewakan. Cadangan membina ‘tembok’ sepanjang Sungai Golok (bernilai RM445 juta) menunjukkan masalah pemikiran, pendekatan dan perancangan tidak mendalam: penyelesaian politik yang tidak selari dengan realiti hidrologi tempatan.
Seperti yang saya hujahkan dalam penulisan di FMT pada 22 Nov 2024 A meaningless Trump-inspired Wall for Sungai Golok?, tembok hanya mengalihkan air, memburukkan kesan di hilir, dan langsung tidak menangani banjir dan akan menjadi satu kegagalan perparitan dalaman.
Ia adalah teater politik, bukan penyelesaian kejuruteraan dan alam sekitar yang memberi kesan yang baik kepada rakyat.
Empangan di hulu Sungai Golok
Satu alternatif penyelesaian teknikal yang kukuh, dengan pelbagai manfaat sampingan, ialah pembinaan sebuah empangan di hulu Sungai Golok dan beberapa lagi empangan di sungai yang sesuai.
Dengan reka bentuk yang betul dan pintar, empangan sebegini boleh:
Mengawal aliran hujan monsun dan mengurangkan banjir di kawasan hilir.
Menjana tenaga hidro untuk mengukuhkan keselamatan tenaga Kelantan.
Menyimpan air mentah bagi menangani masalah bekalan air bersih yang berlarutan.
Menyokong pengairan pertanian.
Mempromosikan ekopelancongan dan rekreasi sungai yang terkawal.
Inilah jenis infrastruktur pelbagai fungsi yang sepatutnya dibina oleh negeri moden – satu peruntukan yang menyelesaikan masalah, bukan mengalihkannya.
Banjir di Kelantan ialah kegagalan perancangan teknikal, bukan masalah cuaca.
Monsun boleh dijangka. Banjir di Kelantan berpunca daripada alam sekitar yang tidak diurus dengan baik, akibat puluhan tahun pengabaian perancangan, ketiadaan visi kejuruteraan, dan keengganan melaksanakan penyelesaian peringkat lembangan.
Kelantan tidak memerlukan satu lagi pusat pemindahan, satu lagi sidang media, atau satu lagi kutipan derma untuk mangsa banjir.
Apa yang diperlukan ialah kemahuan politik untuk membina infrastruktur yang telah lama dibangunkan oleh negara lain, seperti di Belanda yang turut berdepan cabaran air dulunya jauh lebih besar dan lebih serius.
Persoalan yang perlu Kelantan jawab amat mudah:
Adakah kita mahu terus mengurus banjir setiap tahun atau mahu mencegahnya secara jangka panjang?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
