Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim kehilangan seorang setiausaha politik. Bukan kerana rombakan biasa. Bukan juga kerana perpindahan kerjaya yang senyap.
Tetapi akibat satu kontroversi yang tidak lagi mampu dihindari.
Shamsul Iskandar Akin meletakkan jawatan dengan mendakwa beliau menjadi sasaran cubaan serangan dan memburukkan imej kerajaan.
Penjelasan itu tidak memadai untuk rakyat yang berhak mendapat jawapan lebih tegas dan telus.
Persoalannya: Adakah ini hanya satu langkah berundur untuk mempertahankan diri, atau permulaan kepada runtuhnya rangkaian isu yang jauh lebih besar?
Kerana di tengah-tengah ribut ini muncul satu watak yang hampir tidak masuk akal: Albert Tei. Seorang tertuduh pemberi rasuah yang kini berubah menjadi penyebab ledakan politik dan gelombangnya sudah sampai ke Putrajaya.
Wira, kambing hitam atau senjata?
Tei mula dikenali pada 2024 dengan cara yang pelik dan seakan-akan memusnahkan dirinya sendiri, dengan merakam perbualan mengenai rasuah dikaitkan dirinya.
Bukan mendedahkan rasuah yang dilakukan orang lain semata-mata, tetapi mengaku – secara terbuka – peranannya dalam menawarkan sogokan.
Video yang tersebar menunjukkan Tei membincangkan bayaran kepada beberapa Adun Sabah, tokoh yang secara umum dilihat terlibat dalam skim ‘bayar untuk lulus’ bagi mendapatkan lesen penerokaan mineral.
Ada menganggapnya pemberi maklumat yang mendedahkan keburukan sistem. Ada juga melihatnya sebagai ahli perniagaan yang mengambil kesempatan untuk ‘menyucikan’ diri.
Bagi sebahagian masyarakat sivil, hakikatnya jelas: seorang lelaki yang mengaku melakukan kesalahan jenayah, tetapi pada masa sama cuba membina naratif dirinya sebagai wira.
Tei mendakwa dia ditekan. Katanya, dia sedang melawan sistem ‘rasuah yang sistematik’.
Dia memohon perlindungan sebagai pemberi maklumat. Namun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak permohonannya.
Sebaliknya, dia didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada 30 Jun lalu atas dua pertuduhan menawarkan rasuah berjumlah RM350,000 kepada dua bekas wakil rakyat.
Hakikat ini sahaja sudah melemahkan mitos yang cuba dibina.
Seorang pemberi maklumat mendedahkan rasuah tetapi tidak mengaku memberi suapan.
Seperti dapat dijangka, Tei sekali lagi mengubah naratifnya.
Kini dia menggambarkan dirinya sebagai alat iaitu sebagai mangsa. ‘Ikan bilis’ dikorbankan sementara ‘jerung’ terus bebas berenang.
Golongan masyarakat sivil ada betulnya juga: jika anda yang memberi rasuah, anda bukanlah tokoh moral reformasi.
Namun, isu itu bukan sekadar kisah seorang ahli perniagaan yang mementingkan diri. Daripada kronologi, cara mesej disusun dan pemilihan masa, semuanya seolah-olah lebih terancang — hampir strategik.
Dalam politik, masa bukan kebetulan
Dalam dunia politik, masa tidak pernah berlaku secara rawak. Orang yang berdepan kemungkinan ke penjara jarang mendapat ‘kesedaran suci’ secara tiba-tiba — sebaliknya mereka membina strategi untuk terus hidup.
Sejak November tahun lalu iaitu hampir setahun sebelum PRN Sabah, Tei mula memperhebat serangan terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)–Pakatan Harapan (PH).
Semua ini berlaku selepas permohonan lesen mineralnya dibatalkan.
Kemudian, naratifnya berkembang. Bukan lagi hanya soal lesen. Ia bertukar menjadi isu “rasuah di Sabah”. Seterusnya kepada persoalan legitimasi kerajaan negeri itu sendiri.
Urutan peristiwa ini sukar untuk diabaikan bermula dari pembatalan lesen, serangan terbuka, dakwaan di media sosial, kemunculan di ruang politik dan peningkatan retorik.
Setiap bulan, mesej menjadi lebih tajam, semakin jelas ditujukan untuk menggugat keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Sabah.
Jika semua drama ini diketepikan, corak sebenarnya jelas: Kisah ini tidak lagi berlegar soal mineral — ia sudah bertukar menjadi usaha menggoyahkan kestabilan politik Sabah, malah berpotensi menjatuhkan kerajaan negeri.
Walaupun pada awalnya Tei mungkin benar-benar percaya dia ‘membongkar salah laku’, rentetan pendedahannya menjadi sangat berguna kepada sesiapa sahaja yang mahu melihat kerajaan GRS menjadi lemah.
Jadi soalan sebenar bukan hanya: apa yang Tei buat? Tetapi: siapa yang mendapat manfaat daripada perbuatannya?
Dalam perang politik, niat dan kepentingan sama penting seperti bukti.
Kini Putrajaya turut terheret
Jika skandal ini hanya kekal di Sabah, ia sudah cukup menggoncang. Namun ia tidak berhenti di situ.
Beberapa hari sebelum peletakan jawatan Shamsul, Tei meluaskan dakwaannya kepada individu yang dikaitkan dengan Pejabat Perdana Menteri.
Dia mendakwa telah membelanjakan RM629,000 bagi kerja ubah suai, perabot dan peralatan elektrik untuk hartanah yang dikaitkan dengan Shamsul.
Dia juga mendakwa membelikan cerut premium dan sut tempahan khas. Malah beliau mengemukakan apa yang dikatakan resit, tangkapan layar WhatsApp, gambar kerja pengubahsuaian serta gambar sebelum dan selepas.
Semua ini masih belum dibuktikan dan perlu dianggap sebagai dakwaan semata-mata.
Tei ialah seorang tertuduh. Hanya siasatan rasmi yang boleh mengesahkan kebenarannya.
Namun, dakwaan ini bukan bersifat umum. Ia terlalu terperinci sehingga mengundang kegusaran.
Menurut Tei, fail atau dossier beliau yang dikatakan setebal lebih 300 muka surat merangkumi tarikh dan jumlah untuk setiap bayaran:
RM20,000 di Kota Kinabalu (8 Nov 2023)
RM100,000 di Kuala Lumpur (24 Nov 2023)
RM100,000 di Bukit Puchong (15 Dis 2023)
RM50,000 di Kuala Lumpur (22 Jan 2024)
RM50,000 (26 Apr 2024)
USD6,000 (4 Apr 2024)
Jika dokumen itu wujud, bentangkan. Jika mesej itu tulen, uji secara forensik. Jika wang benar-benar berpindah tangan, jejaki alirannya.
Peletakan jawatan Shamsul bukan bukti tidak bersalah. Ia adalah pengunduran.
Jika beliau benar-benar tidak bersalah, satu-satunya tindakan bermaruah ialah bekerjasama penuh dengan siasatan: membuka rekod kewangan, log telefon dan komunikasi untuk diteliti secara bebas.
Apa-apa selain itu, wajar atau tidak, akan dilihat sebagai cubaan melarikan diri daripada penelitian.
Kini, ini ujian sebenar untuk Anwar yang membina identiti politiknya atas nama ‘reformasi’. Atas keberanian moral. Atas penentangan terhadap penyalahgunaan kuasa.
Kini janji itu diuji pada tahap paling tajam.
Beliau boleh memilih jalan yang dipilih ramai pemimpin sebelum ini dengan menjauhkan diri, meredakan isu dan membiarkan masa serta kekeliruan menenggelamkannya.
Atau memilih satu-satunya jalan untuk mengekalkan kredibiliti: Mengarah SPRM menjalankan siasatan penuh, telus dan menyeluruh ke atas semua individu, dokumen dan dakwaan yang dikemukakan Tei — termasuk sesiapa yang berkait dengan pejabatnya sendiri.
Kerana dalam politik Malaysia, diam bukan neutral. Ia adalah isyarat yang mudah menjadi kepercayaan.
Jika Anwar teragak-agak, kekosongan itu akan diisi oleh spekulasi, skeptikal, dan kesimpulan lama rakyat: semuanya sama sahaja.
Ada juga kemungkinan yang lebih gelap dan tidak boleh diketepikan: Bahawa Tei bukan sekadar menuduh rasuah tetapi sebahagian daripada gerakan politik yang lebih besar.
Kemunculan mendadak. Video dramatik. Pendedahan tersusun mengikut masa. Pertemuan yang dihebahkan. Politik disuntik dalam setiap naratif.
Ini tidak kelihatan seperti perjuangan seorang individu semata-mata tetapi koreografi.
Sama ada Tei hanya alat, proksi, atau sekadar oportunis yang digunakan pihak tertentu, satu hakikat tetap jelas: tindakannya kini memberi kesan terus kepada integriti kerajaan Persekutuan.
Ini menjadikan isu ini lebih besar daripada Tei. Lebih besar daripada Shamsul. Malah lebih besar daripada Sabah.
Albert Tei bukan cerita utama — dia tanda kepada penyakit
Tei mungkin bersalah. Dia sudah didakwa di mahkamah. Dia mungkin akan berdepan lebih banyak kesan.
Namun dakwaan — walaupun mungkin bermotifkan kepentingan sendiri — telah menghasilkan satu rangka tuntutan yang semakin hampir ke pusat kuasa negara.
Dan itu sahaja sudah cukup untuk menuntut maklum balas institusi yang serius.
Malaysia pernah melihat corak ini sebelum ini: Pemain kecil dijadikan bukti ‘tindakan telah diambil’, sementara yang hampir dengan pusat kuasa menghilang dalam kabus prosedur.
Jika kerajaan benar-benar serius dengan reformasi, kali ini ia mesti berbeza.
SPRM mesti menyiasat tanpa takut atau pilih kasih. Jabatan Peguam Negara mesti mendakwa jika ada salah laku. Parlimen mesti berani memandang terus isu ini, bukan berpaling.
Ini bukan sekadar soal rasuah tetapi soal kredibiliti. Soal sama ada rakyat Malaysia masih boleh percaya bahawa kuasa dilaksanakan atas amanah — bukan atas pertukaran imbuhan.
Anwar perlu melihat detik ini sebagai amaran dan juga peluang terakhir: Bertindak tegas, dan beliau masih boleh memahat legasi reformasi seperti yang dijanjikannya.
Di sebalik semua ini, tergantung satu persoalan terbesar yang belum terjawab: Dari mana Tei memperoleh jutaan ringgit untuk membiayai semua operasi yang didakwanya?
Dan lebih penting: siapa sebenarnya yang menyokong kewangannya?
Kerana individu seperti Albert Tei tidak bergerak sejauh ini, seberani ini, atau selama ini tanpa ada pihak di suatu tempat yang melihat nilai dalam kekacauan yang diciptakannya.
Dan itulah soalan yang kini perlu dituntut jawapannya oleh Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
