Perdana Menteri Anwar Ibrahim pulang ke tanah air selepas lawatan ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya. (Gambar Facebook)
NAIROBI: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sentiasa memantau rapi situasi banjir walaupun dalam lawatan ke tiga negara Afrika.
Katanya, beliau dikemas kini dua kali sehari dan mengarahkan semua agensi, termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melakukan apa saja yang perlu untuk membantu mangsa banjir.
“(Keutamaannya ialah) langkah segera, tindakan segera untuk membantu mereka yang terjejas banjir,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, laporan dan mesyuarat persediaan banjir diadakan beberapa bulan lebih awal, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi hampir setiap minggu.
Zahid juga pengerusi Nadma.
“Nadma telah mengambil langkah, pusat pemindahan telah dibuka. Jadi, saya fikir kita sedang buat yang terbaik,” kata Anwar.
Mengenai langkah mitigasi banjir, katanya, banyak dana diperuntukkan, tetapi usaha kadangkala tergendala akibat isu berkaitan tanah, kontrak dan tender.
“Tetapi, ia masih diteruskan. Anda boleh lihat sebagai contoh, beberapa kawasan di Kelantan, di mana projek mitigasi banjir telah siap, anda boleh lihat pengurangan impak dan kerugian yang ketara.”
Anwar tiba di Kompleks Bunga Raya KLIA sekitar 9.20 pagi tadi.
Beliau memulakan lawatan rasmi ke Addis Ababa, Ethiopia, sebelum ke Johannesburg, Afrika Selatan untuk lawatan kerja dan menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20. Beliau kemudian ke Nairobi, Kenya untuk lawatan rasmi singkat.
Jumlah mangsa banjir di Semenanjung meningkat kepada 18,503 orang setakat 9 pagi tadi.
Kelantan kekal negeri paling teruk terjejas, dengan 9,939 orang ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara di Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.
