MPGN sedang laksana analisis mendalam untuk mereformasi struktur gaji, dengan kerjasama pihak industri, kata Kesuma. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sedang menjalankan analisis mendalam untuk mereformasi struktur gaji negara secara tuntas, umum Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Abdul Rahman Mohamad melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa ia merangkumi penilaian implikasi cadangan tersebut kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta keperluan mewujudkan kaedah pengukuran produktiviti yang seragam merentasi sektor.
“Berkenaan pelan penyelarasan gaji jangka panjang, MPGN sedang melaksanakan analisis mendalam untuk mereformasi struktur gaji secara menyeluruh dengan kerjasama rapat pihak industri.
“Ini merangkumi penilaian implikasi cadangan tersebut kepada PKS serta keperluan mewujudkan kaedah pengukuran produktiviti yang seragam merentasi sektor untuk memastikan pelaksanaan dasar gaji lebih tepat, saksama dan mampan,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2026 peringkat jawatankuasa.
Keputusan akhir dapatan analisis oleh MPGN akan dimuktamadkan oleh kerajaan, katanya.
MPGN ditubuhkan bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara untuk menasihati kerajaan tentang kadar gaji minimum yang akan dikuatkuasakan. Majlis terdiri daripada wakil kerajaan, majikan, pekerja dan pakar.
Mengulas perkembangan lain, Rahman berkata program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berupaya mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap pekerja asing, dengan melahirkan tenaga kerja tempatan yang lebih kompeten untuk memasuki sektor kritikal seperti pembinaan, pembuatan, maritim, automasi dan semikonduktor.
Katanya, persijilan berstandard nasional serta program peningkatan dan penyesuaian kemahiran yang selari dengan keperluan industri dapat membantu bakat tempatan mengisi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Pendekatan ini secara berperingkat mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing dan mengukuhkan kapasiti tenaga kerja domestik melalui pelaksanaan program ‘Academy in Industry’ (ADI), di mana syarikat melatih tenaga kerja tempatan terus di tempat kerja mengikut standard industri.
“Rancangan Malaysia ke-13 secara jelas menyebut penubuhan ‘ADI Clearing House’ sebagai mekanisme untuk padanan peserta ADI sebelum kelulusan permohonan pekerja asing, dan ini memastikan rakyat tempatan diberikan keutamaan terlebih dahulu,” katanya.
