Ketua Menteri sementara Hajiji Noor bertemu Presiden SLS Nazim Maduarin (dua dari kiri) dan bekas presiden Roger Chin (kiri) termasuk Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh (tiga dari kiri) untuk membincangkan hak Sabah ke atas 40% hasil kutipan dari negeri itu. Turut hadir dalam pertemuan malam tadi Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali (kanan).
PETALING JAYA: Ketua menteri sementara Hajiji Noor telah meminta Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) agar terlibat dengan pasukan yang ditugaskan menyediakan kerangka kerja bagi Dana Kekayaan Berdaulat Sabah (SSWF).
Dalam kenyataan, Hajiji berkata, SLS menyambut baik cadangan dana kekayaan tersebut, yang akan diwujudkan melalui enakmen negeri, sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya mengekalkan kuasa kerajaan negeri Sabtu ini.
GRS sebelum ini mencadangkan penubuhan dana kekayaan itu dalam manifestonya yang dilancarkan minggu lepas
“Saya telah meminta SLS terlibat dalam pasukan menyediakan kerangka SSWF termasuk penggubalan enakmen berkaitan,” katanya.
Roger Chin.
Hajiji memaklumkan, beliau mempelawa SLS menyertai pasukan itu ketika bertemu presidennya, Nazim Maduarin dan bekas presiden Roger Chin, serta Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh bagi membincangkan hak Sabah ke atas 40% hasil kutipan dari negeri itu.
Menurut Hajiji, lembaga SSWF itu juga akan dianggotai golongan profesional dan pakar dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan, undang-undang dan kewangan, selain wakil kerajaan negeri.
“Ini langkah-langkah praktikal dan proaktif yang telah kami mulakan untuk memastikan bahawa masa depan kewangan dan fiskal Sabah dilindungi serta diurus tadbir dengan bertanggungjawab,” katanya.
Dalam manifesto dilancarkan pada 17 Nov, GRS mengumumkan rancangan menubuhkan dana kekayaan berdaulat negeri pertama tahun depan.
Modal permulaan dana itu akan diambil daripada sebahagian rizab negeri Sabah, yang meningkat daripada RM2.9 bilion pada 2020 kepada RM8.6 bilion setakat September 2024 di bawah kerajaan GRS.
Sebahagian tetap daripada pemberian khas 40% daripada Putrajaya akan dimasukkan ke dalam dana tersebut setiap tahun.
Mengenai kelayakan 40% Sabah, Hajiji berkata, beliau telah meminta SLS supaya terus memberikan input yang diperlukan kepada Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan kementerian kewangan negeri bagi mengukuhkan tuntutannya ketika berunding dengan kerajaan persekutuan.
Bulan lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengesahkan Sabah layak menerima 40% hasil persekutuan yang diperoleh di negeri itu, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sejak itu berkata, kerajaan persekutuan akan menghormati keputusan tersebut.
Sementara itu, Chin memberitahu FMT, SLS boleh membantu menghasilkan ‘undang-undang terbaik’ bagi menjamin ketelusan.
Lembaga SSWF selaku badan berkanun harus dianggotai golongan profesional, dan perlu diaudit.
“Perlu ada suatu bentuk pemantauan awam terhadap (lembaga) ini dan mungkin (mekanisme) pengawasan bagi dana berdaulat tersebut,” kata Chin.
“Perkara-perkara ini amat penting bagi memastikan inisiatif ini diyakini orang awam. Sejumlah wang yang besar, milik Sabah, diletakkan ke dalam dana ini. Itulah sebabnya semua ini diperlukan.”
