Haresh Deol mempunyai pengalaman kewartawanan selama 25 tahun lapor isu tadbir urus dan akauntabiliti, termasuk skandal pemain warisan pasukan bola sepak negara baru-baru ini. (Gambar Pearl Lee)
KUALA LUMPUR: Pada 3.30 petang di Bangsar Baru, pengasas bersama Twentytwo13 Haresh Deol keluar dari sebuah bangunan setelah selesai bermesyuarat.
Dua lelaki bertubuh sasa – seorang memakai topi keledar, seorang lagi tidak – bersemuka dengannya lalu menyerangnya, sementara seorang lagi lelaki dengan tenang merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit.
Haresh berkata, beliau mula berasa tidak sedap hati sebaik sahaja menghampiri keretanya, menyedari kelakuan aneh lelaki-lelaki itu, yang dipercayai menunggunya di luar.
Menyedari bahaya, Haresh cuba melarikan diri tetapi dirempuh oleh lelaki yang sebentar tadi merakam kejadian, menyebabkan beliau jatuh sebelum diserang oleh dua lelaki terbabit.
Akibat serangan itu, Haresh, 43, cedera di hidung dan siku selepas ditumbuk dan ditendang, namun barang peribadinya tidak diambil.
Serangan itu menimbulkan persoalan kritikal dalam kalangan rakan sekerja serta komuniti media yang lebih luas.
Bagaimana penyerang-penyerang itu tahu pergerakan Haresh? Adakah mereka mengekorinya dari pejabatnya di Ampang?
Adakah mereka menunggunya, atau sekadar terserempak dengannya secara kebetulan? Jawapan kepada persoalan-persoalan ini masih belum jelas.
Gabungan seorang penyerang bertopi keledar, seorang lagi tanpa topi keledar, dan individu ketiga yang merakam kejadian itu menggambarkan tindakan yang berani dan luar biasa, walaupun polis masih belum mengesahkan sebarang motif.
Rakan kongsi Haresh, Pearl Lee, berkata: “Walaupun kita belum tahu niat (penyerang), cara serangan ini diatur – daripada segi masa, lokasi dan adanya seorang ‘jurukamera’ – amat membimbangkan.
“Ia menghantar isyarat yang cukup menggerunkan kepada para wartawan di mana-mana.”
Haresh mempunyai pengalaman selama 25 tahun melaporkan isu tadbir urus dan akauntabiliti.
Antara laporan terbarunya termasuk siasatan mengenai sukan Malaysia, khususnya isu tadbir urus dan skandal pemain warisan pasukan bola sepak negara.
Walaupun tiada kaitan yang dapat disahkan antara laporan kewartawanannya dengan serangan tersebut, keadaan kejadian itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga media.
Kumpulan media mengecam serangan itu sebagai suatu bentuk intimidasi yang berani.
Mereka menegaskan, serangan terhadap wartawan bukan sahaja mengancam keselamatan individu tetapi juga hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan bebas daripada tekanan.
Pemerhati turut menyatakan, persoalan sama ada penyerang mengekori Haresh, bagaimana mereka mengetahui pergerakannya, dan mengapa salah seorang memakai topi keledar manakala seorang lagi tidak, amat meresahkan.
“Hari ini Haresh. Esok, mungkin mana-mana wartawan lain yang berani laporkan kebenaran,” kata Pearl.
Kejadian ini meninggalkan peringatan yang jelas: Bidang kewartawanan, walaupun pada siang hari, tetap mempunyai risiko nyata.
Dan apabila keganasan disertai tindakan merakam kejadian, mesejnya – sama ada disengajakan atau tidak – adalah sesuatu yang tidak mampu diabaikan.
*Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Mohd Adnan Alias di talian 019-216 2272 atau menyalurkannya ke Hotline Polis Brickfields di 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999, atau mana-mana balai polis berhampiran.
