Ketua Polis Lahad Datu Dzulbaharin Ismail berkata Toyota Innova yang cuba memotong beberapa kenderaan gagal kembali ke laluan asal dan bertembung treler dari arah bertentangan.
LAHAD DATU: Tiga maut, manakala seorang kanak-kanak cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dan treler bertembung di KM33 Jalan Lahad Datu-Tawau, kira-kira 1.05 tengah hari semalam.
Ketua Polis Lahad Datu, Dzulbaharin Ismail, berkata siasatan awal mendapati Toyota Innova yang dipandu seorang lelaki dari arah bandar Lahad Datu menghala Tawau cuba memotong beberapa kenderaan di depannya, tetapi gagal kembali ke laluan asal sebelum bertembung sebuah treler dari arah bertentangan.
Akibat pertembungan itu, pemandu MPV berusia 40 tahun dan dua penumpang berusia 39 serta 43 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang parah dihantar ke Hospital Lahad Datu.
Dzulbaharin berkata, pemandu treler berusia 56 tahun cedera ringan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat Jafri Juat di talian 089-881255 atau ke IPD Lahad Datu.
