Satu laman Facebook dinamakan sempena Liga Bolasepak Bangladesh semalam mendakwa Petronas menjadi penaja utama liga berkenaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Petronas nafi dakwaan kononnya daripada Liga Bolasepak Bangladesh bahawa syarikat minyak dan gas itu antara penajanya.
Petronas berkata, pihaknya ambil maklum hantaran media sosial yang menggambarkan syarikat tersebut sebagai penaja utama liga berkenaan, yang dikatakan sebagai penjenamaan semula Liga Perdana Bangladesh yang terdahulu.
“Kami ingin menjelaskan Petronas tidak memeterai sebarang perjanjian penajaan untuk Liga Bolasepak Bangladesh, dan kami juga tidak membenarkan penggunaan nama atau jenama kami berkaitan dengan liga ini.
“Petronas memandang serius integriti jenama kami dan kekal fokus untuk menyampaikan nilai kepada pihak berkepentingan dan komuniti tempat kami beroperasi,” katanya dalam kenyataan.
Satu laman Facebook yang dinamakan sempena liga itu semalam mendakwa Petronas menjadi penaja utama liga tersebut.
Laman yang baharu dibuka kurang dua hari lalu, namun hantarannya telah dikongsi semula oleh laman Facebook rasmi Persekutuan Bolasepak Bangladesh.

https://shorturl.fm/3XqoV