Penduduk Kg Jalan Papan tuntut pampasan rumah diroboh secara paksa

Lebih 80 penduduk Kampung Jalan Papan menyerahkan memorandum bantahan kepada menteri besar Selangor dan ketua pembangkang negeri di luar DUN di Shah Alam.

SHAH ALAM: Sekumpulan penduduk Kampung Jalan Papan di Klang menggesa kerajaan Selangor mendesak pemaju Melati Ehsan Consolidated Sdn Bhd membayar pampasan kepada 29 keluarga selepas rumah mereka dikatakan diroboh secara paksa minggu lalu.

Tuntutan penduduk itu terkandung dalam memorandum bantahan yang diserahkan kepada wakil kerajaan Selangor dan pembangkang negeri di luar Dewan Undangan Negeri di sini pagi tadi.

Penduduk yang diiringi Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan, turut menggesa kerajaan negeri mengembalikan semula perjanjian pada 2018 yang menjanjikan rumah teres bernilai RM99,000 untuk peneroka asal dan pilihan rumah lain untuk bukan peneroka.

Mereka turut mendesak kerajaan negeri membekukan semua projek Melati Ehsan di Selangor sehingga pertikaian selesai sepenuhnya dan rundingan seterusnya diadakan melalui jawatankuasa penduduk atau peguam dilantik.

Arutchelvan berkata, penduduk terbuka kepada rundingan penempatan sementara sebaik saja mereka mengosongkan tanah itu, tetapi hanya selepas perjanjian rasmi ditandatangani.

Katanya, saman yang difailkan di mahkamah akan ditarik balik sebaik sahaja semua syarat dimuktamadkan secara bertulis.

Pada 8 Nov lalu, PSM dan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menggesa kerajaan negeri untuk menghentikan perobohan rumah kosong di kampung itu kerana kira-kira 100 keluarga akan kehilangan tempat tinggal.

Kerajaan negeri pada 23 Okt lalu berkata, hanya rumah kosong dan premis perniagaan akan dirobohkan, tetapi penduduk menerima notis baharu mengosongkan rumah mereka pada 27 Okt lalu.

Pada 14 Nov lalu, penduduk mendakwa beberapa rumah dirobohkan secara paksa dan menuduh pihak berkuasa memotong kunci, memasuki rumah masih berpenghuni serta menahan sesiapa saja yang membantah.

Pada mulanya, kira-kira 100 penduduk dijadualkan menghadiri perbicaraan mahkamah pada 18 Dis ini, sebelum sebahagian besarnya dikeluarkan daripada senarai tanpa penjelasan. Kini, tinggal 44 nama dalam senarai dikemas kini.

Penduduk berkata, mereka yang rumahnya dirobohkan tidak tersenarai dan kekurangan dokumentasi rasmi dijadikan alasan untuk menolak tuntutan mereka.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *