Ketua pembangkang, poster boy & calon PM – sama atau lain?

Tak ada angin, tak ada ribut tup tup timbul spekulasi tempoh hari Hamzah Zainudin akan digantikan oleh Radzi Jidin sebagai ketua pembangkang. Kata orang Melayu, kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang, betul tak?

Mungkin saya yang tak nampak ribut melanda, tapi bak kata kawan lama saya wartawan senior, Terence Netto, yang menulis kepada FMT pada 23 November lalu, langkah ganti Hamzah si timbalan presiden Bersatu dengan Radzi si naib presiden untuk jawatan ketua pembangkang telah direnungi tetapi tidak dipersetujui, atau ‘contemplated but not acceded’ pada satu pertemuan di kediaman Muhyiddin Yassin si presiden, Selasa lalu.

Menurut Netto, pertemuan diadakan untuk meredakan ketegangan yang tercetus akibat sengketa antara geng Hamzah dengan geng Azmin Ali, si setiausaha agung. Jika langkah tukar Hamzah dengan Radzi dilaksanakan, ia membawa makna Hamzah dikenakan tindakan kerana mengetuai gerakan desak Muhyiddin undur meskipun Hamzah nafi. Satu video yang dikongsi pemimpin Bersatu menunjukkan 18 Ahli Parlimen berkumpul dan mengadakan perbincangan dengan Muhyiddin, termasuk Hamzah. Pertemuan berakhir seperti dipaparkan dengan mereka melaungkan ‘kami sokong presiden’ beberapa kali.

Ini mengingatkan saya akan ikrar sokong dan taat setia kepada presiden yang diperdengarkan dan dipertunjukkan pada penghujung Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, September lalu. Umum tahu apa yang berlaku selepas itu. Jika keadaan aman dan tenteram masakan pertemuan diadakan di kediaman Muhyiddin. Apa pun, Muhyiddin semasa berkempen di Sabah menjelang PRN mengumumkan Hamzah masih kekal sebagai ketua pembangkang. Habis cerita? All’s well ends well?

Ketua pembangkang bukan ketua Perikatan Nasional, dan jawatan ketua PN yang menjadi isu dalam kalangan tertentu dalam Bersatu. Kelihatan juga ada ‘campur tangan’ oleh PAS — parti paling kuat dalam PN. Ringkasnya, mengulangi apa yang saya perkatakan selama ini: Hamzah idam jawatan ketua PN. PAS dikatakan menyokong Hamzah. Muhyiddin mahu terus jadi ketua. Azmin sokong Muhyiddin.

Sehingga kini Muhyiddin tidak ada umum atau beri isyarat mahu melepaskan jawatan ketua PN.

Selama ini tiada siapa yang cakap pasal jawatan ketua pembangkang. Selama ini yang menjadi pertikaian jawatan ketua PN, kerana ketua PN juga dianggap poster boy PN sekali gus calon untuk jawatan perdana menteri jika gabungan itu menang PRU kelak.

In the good old days, keadaannya simple dan straightforward. Pemimpin tertinggi parti yang menang jumlah kerusi Parlimen paling banyak dan punyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan akan diangkat sebagai perdana menteri. Parti yang kalah jadi pembangkang, dan pemimpin parti pembangkang yang menang jumlah kerusi paling banyak dalam kalangan parti pembangkang jadi ketua pembangkang di Parlimen. Andai pembangkang menang pilihan raya dan tubuhkan kerajaan, ketua pembangkang jadi perdana menteri.

Maka pada zaman dulu pemimpin PAS seperti Fadzil Noor dan Hadi Awang pernah jadi ketua pembangkang, with an eye to the prime minister post. Anwar Ibrahim pun pernah jadi ketua pembangkang. Atas sebab dan percaturan politik tertentu, Wan Azizah selaku presiden PKR pernah diangkat jadi ketua pembangkang walaupun partinya tidak menang banyak kerusi ketika itu.

Ismail Sabri Yaakob juga pernah jadi ketua pembangkang apabila PAS yang waktu itu menjadi komponen pembangkang bersetuju dengan pelantikan itu. Ketua pembangkang paling terkenal ialah Lim Kit Siang kerana memegang jawatan itu beberapa kali.

Meskipun menduduki jawatan tertinggi, DAP tidak pernah uar-uarkan Lim sebagai calon perdana menteri, kerana akur dengan ‘syarat’ bahawa perdana menteri mesti diangkat dalam kalangan orang Melayu-Islam. Meskipun Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan kriteria ini secara khusus, ia diterima dan dihormati setiap lapisan rakyat.

Sekarang jawatan ‘ketua pembangkang di Parlimen’ tidak sama dengan ketua pembangkang secara realitinya. Kalau ikut logik atau amalan dahulu, Muhyiddin yang sepatutnya jadi ketua pembangkang di Parlimen selaku ketua PN. Senang cakap, beliau ketua pembangkang di dalam dan di luar Parlimen.

Sepatutnya presiden PAS yang layak jadi ketua pembangkang kerana menang jumlah kerusi paling banyak dalam blok pembangkang, tetapi oleh kerana percaturan dan perkiraan politik, jawatan itu diberi kepada Bersatu.

Begitu juga keadaannya berkenaan poster boy, atau lebih tepat dan penting, calon PM daripada PN. Presiden PAS paling layak jadi calon. Sekali lagi oleh kerana sifar politik, PAS dilihat (atau mahu dilihat?) kurang berminat.

Pun begitu PAS tetap mahu pilihan mereka jadi calon walaupun orang itu bukan orang PAS. Beberapa penganalisis dan pemerhati politik beranggapan PAS mesti menampilkan calon dalam kalangan ahlinya. Kata seorang pengulas politik yang saya kenali, jika Hadi tidak mahu jadi calon PM (atas sebab kesihatan atau usia dan sebagainya), PAS wajar pilih Ahmad Samsuri Mokhtar — naib presiden dan juga menteri besar Terengganu.

Meskipun rapat dengan Hadi, yang juga ulama besar dalam PAS, golongan ulama dalam parti itu dikatakan tidak setuju Samsuri dijadikan calon PM untuk PN. Bukanlah rahsia dalam PAS ada pergeseran antara geng ustaz dengan geng teknokrat. Umum tahu Samsuri daripada golongan teknokrat atau profesional.

Pengulas politik sama beritahu saya Azmin juga boleh jadi calon PM mewakili PN, tetapi PAS tidak berkenan. Tidak berani saya kata “PAS mati hidup balik pun tidak setuju” Azmin jadi calon PM tetapi dalam bahasa lembut, PAS tidak suka Azmin.

Sehingga ini tiada ada isyarat Muhyiddin tidak lagi mahu jadi ketua PN manakala Hamzah masih mahu jadi calon PM. Lantas we get what we’re getting now. Tengoklah apa yang sedang kita tengok sekarang.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *