Hajiji Noor dalam siri jelajah kempen Rumah Kita, Kita Jaga di DUN Kiulu.
KIULU: Kerajaan pusat pimpinan Anwar Ibrahim mengakui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai parti dominan dalam pentadbiran negeri, kata Hajiji Noor.
Justeru, ketua menteri sementara menegaskan tidak timbul soal pentadbiran negeri dikawal orang luar sebaliknya kekal bawah parti tempatan yang memahami aspirasi rakyat.
Menurut pengerusi GRS itu, hubungan erat antara pusat dan negeri akan lebih ditekankan oleh Anwar yang akan melawat Tuaran, dalam tempoh dua hari lagi.
“Hubungan kerajaan pusat dan negeri mesti erat, paling penting GRS yang dominan…kerajaan pusat tahu ini.
“Jangan kita bimbang, tidak ada mereka ambil dari Sabah,” katanya berucap dalam siri jelajah kempen Rumah Kita, Kita Jaga di DUN Kiulu.
Hadir sama calon GRS Kiulu Joniston Bangkuai.
Kenyataan Hajiji menyusul kritikan terhadap keputusan GRS yang menjalankan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH), bukan bertanding solo.
Hajiji berkata, kerjasama itu mewujudkan kestabilan politik membawa pelaburan besar dan keuntungan kepada Sabah menerusi perjanjian komersial dengan Petronas yang menguntungkan.
“Kestabilan politik penting untuk kemajuan dan pembangunan negeri,” katanya.
Sementara itu, pada sidang media, Hajiji menjelaskan cadangan mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada dua penggal seperti digariskan dalam manifesto GRS, disifatkan langkah terbaik memastikan kepimpinan negeri ditadbir dengan telus.
“Kita setuju had untuk seseorang ketua menteri hanya dua penggal…bagi kita itu yang terbaik. Tak perlu lama-lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas manifesto Warisan yang tidak menyentuh langsung mengenai had penggal jawatan ketua menteri, berbeza dengan pendirian jelas GRS yang mengumumkan dasar tersebut lebih awal.
Selain GRS, Barisan Nasional (BN) juga menawarkan aku janji had tempoh maksimum dua penggal bagi jawatan ketua pentadbiran negeri jika parti itu dipilih pada PRN ke-17.
