BN ke Warisan, GRS dan kini PH, Jamawi tak segan digelar ‘katak politik’

Jamawi Jaafar daripada PKR bertembung lapan penjuru di kerusi Melalap. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Wakil PKR di DUN Melalap Jamawi tidak malu dan segan walaupun digelar ‘katak politik’ kerana bertukar empat parti dalam tempoh tujuh tahun.

Calon Pakatan Harapan (PH) itu, berkata perpindahan parti itu bukanlah keputusan peribadi semata-mata, sebaliknya hasil rundingan di peringkat tertinggi antara Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor.

“Itu memudahkan kerja saya. Semua sudah bersih, tutup cerita isu lompat parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jamawi berkata, beliau mendapat sambutan positif penduduk Melalap selepas hampir separuh kawasan itu dijelajahinya dalam tempoh berkempen sedang berlangsung.

Beliau menolak spekulasi akan keluar PKR sekiranya tewas pada PRN, sambil menyatakan akan berpegang teguh pada prinsip perjuangannya.

Jamawi memulakan kerjaya politiknya dalam Umno dan seterusnya menjadi pemimpin sayap Pemuda.

Beliau dipilih sebagai Adun Kemabong pada 2018 atas tiket Barisan Nasional (BN), namun meninggalkan parti itu untuk menyertai Warisan di mana kekal selama dua tahun, sebelum kembali ke pangkuan Umno.

Pada 2023, beliau sekali lagi meninggalkan Umno selepas parti itu cuba menyingkirkan Hajiji sebagai ketua menteri, dan menyertai parti pengerusi GRS itu, Gagasan Rakyat.

Jamawi adalah antara tiga bekas pemimpin GRS yang diumumkan sebagai calon PKR pada PRN Sabah, bersama Yamani Hafez Musa dan George Hiew.

Dalam persaingan di Melalap, Beliau berada dalam pertembungan lapan penjuru, menentang pencabar seperti pemangku presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Priscella Peter, anak perempuan bekas Adun kerusi itu, Peter Anthony.

Pada PRN 2020, Peter menewaskan Jamawi untuk menang kerusi itu dengan majoriti 1,719 undi.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *