Calon PN di Karambunai Aliakbar Gulasan berkata DUN itu boleh menjadi antara ikon perbandaran di Sabah jika perancangannya tersusun.
KOTA KINABALU: Calon Perikatan Nasional (PN) DUN Karambunai Aliakbar Gulasan berkata salah faham terhadap PAS di Sabah sebelum ini kerana rakyatnya terlalu tumpu kepada parti itu, bukan ketokohan individu.
Namun, pesuruhjaya PAS Sabah berpendapat keadaan semakin berubah kini apabila rakyat Negeri Bawah Bayu itu lebih menilai tokoh atau personaliti ditampilkan yang berlatar belakang profesional serta ahli akademik.
Bagaimanapun, di sebalik penerimaan lebih positif itu beliau mengakui tugas PAS meraih kerusi pertamanya di Sabah masih berliku.
“Tetapi dalam PN potensi itu ada. Kami bekerja sebagai satu pasukan.
“Kadangkala orang ada salah faham tentang PAS di Sabah, tetapi sekarang pengundinya lebih menilai tokoh bekerja bukan semata-mata parti,” katanya dalam temu bual FMT.
Aliakbar dikatakan berpotensi menyumbang kerusi pertama untuk PAS yang mula bertapak di Sabah sejak 1987 dan bertanding di beberapa siri pilihan raya namun belum menang.
Pada PRN 29 Nov ini, beliau akan berdepan penyandang DUN Karambunai, Yakub Khan daripada Barisan Nasional (BN) yang menang kerusi itu pada PRN 2020 dengan majoriti 16 undi, selain sembilan calon lain.
Karambunai yang terletak bawah Parlimen Sepanggar mempunyai seramai 39,247 pengundi.
Dalam pada itu, bekas Adun dilantik tersebut berkata masih banyak perlu diperbaiki di Karambunai jika beliau diberi mandat sebagai wakil rakyat terutama penempatan penduduk, kemudahan asas dan pembangunan tidak seimbang.
Aliakbar berkata, pembangunan pesat di kawasan pesisir memberi tekanan besar kepada komuniti nelayan dan kampung tradisi yang semakin terpinggir.
“Kampung tradisi perlu digazetkan supaya tidak hilang ditelan pembangunan manakala peniaga kecil pula perlu disediakan tapak yang tersusun bukan berniaga secara tidak formal di tepi jalan,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya masih belum memuaskan walaupun Karambunai sudah berada dalam kawasan bandar dan perindustrian.
“Karambunai ada potensi besar tetapi penduduk tempatan belum benar-benar menikmati pembangunan.
“Isu setinggan juga tidak wajar diselesaikan dengan perobohan semata-mata,” katanya yang beranggapan Karambunai boleh menjadi antara ikon perbandaran di Sabah jika perancangannya tersusun.
