Pengasas PBS Pairin bertemu calon parti, beri kelebihan pada GRS

Dalam pertemuan itu, pengasas PBS Joseph Pairin Kitingan menekankan kepentingan kepimpinan tempatan, dan menyatakan masa depan Sabah terletak di tangan mereka yang mengenali dan ambil berat tentang negeri itu.

PETALING JAYA: Pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS), Joseph Pairin Kitingan, hari ini bertemu dengan calon-calon parti itu sempena PRN Sabah, bagi menyampaikan amanat serta kata-kata semangat.

Pertemuan tertutup itu memberi ruang kepada Pairin menzahirkan ucapan tahniah secara peribadi kepada calon atas pemilihan mereka serta membincangkan tanggungjawab yang datang bersama peranan mewakili parti itu, yang juga komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pairin, yang juga Huguan Siou (ketua tertinggi komuniti Kadazandusun-Murut), menekankan kepentingan kepimpinan tempatan, sambil menyatakan bahawa masa depan Sabah terletak di tangan mereka yang benar-benar mengenali dan mengambil berat tentang negeri itu.

“Sebagai penasihat, saya mahu bertemu dan mengucapkan tahniah kepada mereka kerana terpilih sebagai calon,” katanya.

“Kita tidak boleh mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh pengundi, khususnya golongan belia.

“Masa depan mereka adalah masa depan kita. Mereka yang perlu melindunginya ialah orang tempatan. Pengundi mesti memahami bahawa masa depan kita perlu dipertahankan,” tambahnya.

PBS, antara parti politik paling lama di Sabah, diasaskan oleh Pairin pada 1985.

Beliau berkhidmat sebagai ketua menteri Sabah dari 1985 hingga 1994, menjadi Ahli Parlimen Keningau dari 1986 hingga 2018, dan mengetuai PBS selama 33 tahun sebelum berundur pada 2018.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *