Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata larangan diputuskan Jemaah Menteri itu bagi kekang jenayah siber rentas usia dan bagi lindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan menyasarkan tahun depan untuk larangan kanak-kanak berusia bawah 16 tahun daripada membuka akaun media sosial.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata, larangan berkenaan berasaskan keputusan Jemaah Menteri bagi mengekang jenayah siber rentas usia termasuk melindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual, lapor Berita Harian.
Larangan itu juga susulan kebimbangan mengenai peningkatan kes buli siber, gangguan seksual dan masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah yang sering dikaitkan dengan pendedahan terlalu awal serta tidak terkawal kepada media sosial.
“Kita harap menjelang tahun depan, platform-platform media sosial akan akur dengan keputusan kerajaan untuk melarang kanak-kanak bawah 16 tahun membuka akaun media sosial,” katanya selepas satu seminar di Lembah Pantai.
Katanya, selain melalui Akta Keselamatan Dalam Talian dan Akta Komunikasi dan Multimedia, kerajaan juga sedang meneliti pelaksanaan had umur umum seperti yang dilakukan Australia dan negara lain terutama dari segi mekanisme penguatkuasaan.
Beliau berkata, salah satu mekanisme yang sedang dipertimbangkan ialah mewajibkan platform media sosial melaksanakan pengesahan eKYC yang melibatkan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID.
“Kita menjangkakan platform dapat melaksanakannya menjelang tahun depan.
“Saya percaya bahawa jika kerajaan, badan kawal selia dan ibu bapa memainkan peranan masing-masing, kita dapat memastikan internet di Malaysia bukan sahaja pantas, meluas dan mampu milik, tetapi yang paling penting, selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga” katanya.
